fbpx

Mekanik perdaya beli telefon bimbit Samsung bernilai RM7,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
P. Gopinath (tengah) di bawah ke Mahkamah Seremban bagi pertuduhan yang dihadapinya, hari ini. - Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

SEREMBAN – Seorang mekanik dijatuhi hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan pekerja kedai untuk menyerahkan duah buah telefon bimbit Samsung Galaxy Z Flip 4 bernilai RM7,500, akhir bulan lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, P.Gopinath, 30, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa telah memperdayakan mangsa seorang pekerja kedai lelaki berusia 20 tahun dengan sengaja sehingga mendorongnya untuk menyerahkan dua buah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Z Flip 4 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan telefon bimbit itu sekiranya mengetahui pembayaran tersebut belum dijelaskan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai telefon bimbit Terminal 1 Seremban di sini lebih kurang pukul 8 malam pada 27 Mei lalu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai memohon hukuman denda yang paling minima dikenakan.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah pergi ke sebuah kedai telefon bimbit untuk membeli dua buah telefon jenama Samsung Galaxy Z Flip 4 berharga RM7,500.

Kemudian tertuduh telah meminta mangsa menyerahkan nombor akaun bank bagi membuat pembayaran dan menunjukkan resit sebelum beredar dari kedai.

Bagaimanapun, mangsa menyedari pembayaran masih belum menerima pembayaran RM7,500 selepas menerima panggilan daripada majikan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI