fbpx

Mayat kanak-kanak mangsa lemas ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Lubuk Gelap Simpang Empat, Tanjung Malim sejak Sabtu lalu berjaya ditemukan hari ini.- Ihsan JBPM

TANJUNG MALIM – Selepas kira-kira 68 jam dilaporkan hilang ketika mandi di Lubuk Gelap Simpang Empat di sini sejak Sabtu lalu, mayat Edward Grang Anak Jenggut akhirnya berjaya ditemui hari ini.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu ditemukan pada pukul 12.35 tengah hari kira-kira lapan kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Mangsa ditemukan pasukan penyelamat dalam keadaan terapung dan tersangkut pada kayu berhampiran tebing Sungai Bernam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd. Zairul Fahmi Mohd. Nazari berkata, kedudukan mayat mangsa berjaya dikesan seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.

Katanya, mayat kanak-kanak tersebut kemudiannya dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis yang berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa yang tersangkut pada kayu itu dijumpai pada jarak lapan kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat. Ketika dijumpai, mangsa hanya memakai seluar renang berwarna hitam,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi yang memasuki hari keempat itu bermula pukul 9.30 pagi tadi dengan merangkumi jarak pencarian sehingga sembilan kilometer.

Katanya, dalam operasi itu, pasukan penyelamat telah menyusuri arus sungai selain membuat pencarian di permukaan air dan tebing dengan dibantu unit K9.

“Seramai 49 anggota terdiri daripada pasukan bomba dan polis terlibat sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan selepas menerima maklumat kehilangan kanak-kanak itu pada 5.06 petang, Sabtu lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI