fbpx

Pekebun tidak cukup pekerja tuai hasil tanaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ban Hong (tengah) dan Teng Chay (kanan) membawa buah jambu yang dikutip untuk dipasarkan di Stulang Daeng, Bukit Rambai, Melaka. - Foto oleh AMRAN MULUP / KOSMO!

MELAKA – Pekebun kecil di negeri ini khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang tidak dapat menuai hasil maksimum tanaman masing-masing susulan mengalami kekurangan pekerja warga asing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pengusaha yang mendakwa mengalami kesukaran bagi mendapatkan tenaga buruh sejak perintah kawalan pergerakan (PKP), tiga tahun lalu.

“Setakat ini seramai 11 pekebun membabitkan kawasan seluas 15 hektar yang masih aktif dengan tanaman tembikai, pisang, jagung, jambu, sayuran dan mangga di DUN Klebang tampil membuat aduan.

“Banyak hasil tanaman tidak dapat dituai dan dijual kerana mereka kekurangan tenaga kerja khususnya pekerja warga asing dan masalah ini dihadapi sejak PKP,” katanya kepada pemberita selepas melawat kebun buah jambu di Stulang Daeng, Bukit Rambai dekat sini, hari ini.

Jelasnya, pengusaha tanaman padi di DUN itu melibatkan kawasan seluas 815 hektar bagaimanapun tidak berdepan dengan masalah berkenaan.

Ujarnya, susulan itu pihaknya akan membawa perkara tersebut ke Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Buruh (JTK) untuk mencari jalan penyelesaian bagi mendapatkan buruh warga asing.

Sementara itu seorang pengusaha kebun jambu, Chan Teng Chay, 65, berkata, isu tersebut menyebabkan dia menghadapi masalah untuk mengutip buah jambu di kebunnya yang seluas 3.23 hektar.

“Saya hanya dapat memunggut hasil satu tan seminggu jika ada ramai pekerja rasanya saya mampu mengutip hasil mencecah enam tan seminggu.

“Buat masa ini hasil jambu yang berjaya dituai hanya cukup bagi pasaran di Kuala Lumpur dan sekitar Melaka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI