fbpx

Jemaah haji beruntung disantuni TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEMAAH haji kumpulan KT042 (SV5669) dalam sebuah majlis di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang sebelum berlepas ke Madinah petang kelmarin.

Melihat sendiri kegigihan Tabung Haji (TH) melaksanakan operasi haji di Tanah Suci berjalan lancar membuatkan saya kagum.

Sebelum ini, saya hanya mendengar cerita-cerita yang disampaikan dan membaca laporan rakan-rakan yang berpeluang membuat liputan di sini.

Ada kalanya, saya mengambil sikap acuh tak acuh sahaja ke­rana tidak mempunyai kaitan, malah tiada ahli keluarga yang menunaikan haji. Tetapi apabila sudah menjadi sebahagian ahli keluarga TH sejak 14 Mei lalu, persepsi itu telah berubah.

Beruntungnya jemaah haji Malaysia mendapat satu agensi yang mempunyai segala kepakaran dan pengalaman untuk menguruskan mereka di sini.

Bukan seorang dua tetapi 31,600 orang yang perlu disantuni dan diuruskan. Ia sudah tentu suatu pekerjaan yang begitu mencabar kerana berdepan dengan kerenah manusia.

Dapat tinggal di hotel empat bintang ke atas, diberi makan dan fasiliti yang cukup serta pe­ngangkutan terbaik merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri.

Jika berjalan kaki dari hotel ke Masjidilharam yang terletak 750 meter, saya dapat lihat ada segelintir manusia yang tinggal di bawah jambatan dan tidur di atas jalan beralas karpet lusuh dan kain nipis untuk tidur.

Tidak cukup dengan itu, mereka membawa pula air zamzam yang diisi di dalam botol lima liter sebelum diletakkan di atas kepala atau dijinjit dari Masjidilharam ke tempat penginapan masing-masing.

Sudahlah berat, jauh pula hendak berjalan. Tetapi mereka kekal cekal. Itu tidak berlaku kepada jemaah haji Malaysia. Apa yang dikatakan oleh TH mengenai kebajikan dan keselamatan benar-benar dipraktikkan.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang telah berada di Tanah Suci sejak minggu lalu berkali-kali memperkatakan mengenai kesiapsiagaan pasukan untuk memastikan kelancaran operasi.

Ia dibuktikan apabila setiap ketua operasi maktab, pengurusan, perubatan, pembimbing ibadat dan sajian makanan melakukan tugas mereka dengan cekap dan teratur.

Ada antara petugas terpaksa melupakan katil dan selimut demi menyantuni dhuyufurrahman atau tetamu Allah ini terutama ketika membimbing mereka melakukan umrah.

Satu demi satu kumpulan jemaah yang masuk ke Mekah di­santuni dan diberikan per­khidmatan sama rata. Tidak ke­terlaluan jika dikatakan kebajikan yang dinikmati seolah-olah mereka berada di Malaysia.

Apa yang pasti, kesiapsediaan petugas TH kini berada pada tahap maksimum dan ia akan lebih teruji apabila operasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah bakal menjelma akhir Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI