fbpx

Dua maut motosikal dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Pintasan Kuantan–Pelabuhan menghala Kuantan hari ini.

KUANTAN – Dua maut apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Pintasan Kuantan–Pelabuhan menghala ke Kuantan di sini hari ini.

Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Yusof Ibrahim, 58, dan pembonceng motosikal, Ismail Jaafar, 61.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 7.52 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gebeng di sini menghala ke Kuantan.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian iaitu berhampiran depoh Alam Flora, motosikal mangsa dikatakan telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut.

“Tindakan itu (tukar laluan) menyebabkan sebuah kereta jenis Nissan Almera dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit yang dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian kedua-dua mangsa telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, pemandu kereta jenis Nissan Almera yang merupakan seorang wanita berusia 32 tahun mengalami sakit di bahagian dada.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang mengubah haluan secara mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI