fbpx

Keturunan Sulu dipergunakan golongan tertentu untuk tuntut wang dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina Othman.

KOTA TINGGI – Kerajaan melihat keturunan Sulu berkemungkinan hanya dipergunakan oleh golongan tertentu di negara barat bagi proses menuntut wang dari Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ada pihak menyuruh membayar tuntutan yang tidak masuk akal itu melalui hasil dari syarikat-syarikat di negara ini yang didakwa hak mereka.

Katanya, disebabkan itu kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar tuntutan itu dilawan secara habis-habisan bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

“Saya melihat keturunan Sulu dipergunakan oleh segolongan tertentu di negara barat hanya untuk proses menuntut Malaysia bayar duit. Saya dengar ada orang cakap suruh syarikat-syarikat Malaysia yang banyak duit bayar sebab ini hak mereka, bagi saya tidak masuk akal.

“Sebab itu kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, memberikan arahan dan mesyuarat kabinet beri arahan kita akan lawan habis habisan sebab kita sebuah negara yang bebas merdeka ada maruah dan kedaulatan.

“Kita akan habis-habisan lawan tuntutan mereka. Kali ini saya beritahu peguam kita di sana kalau mereka kalah dimana-mana negara kita tuntut kos supaya dia bayar balik ganti rugi kos kita. Saya betul-betul pantang, jangan dia pandang kecil pada negara asia, terutama negara Melayu Islam jangan pandang kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pelaksaan Projek dan Lawatan Tapak Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar, di sini hari ini.

Terdahulu, kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg. Malaysia kemudiannya telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.

Penuntut Sulu kemudiannya meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI