fbpx

Persatuan perubatan dan vape bergabung tolak GEG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arifin (kiri) bersama Khairil Azizi bergambar pada sambutan Hari Vape Sedunia 2023 di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA – Dua persatuan bergabung untuk menggesa kerajaan supaya menilai semula Dasar Penamat Generasi (Generation Endgame, GEG) jika ia serius ingin mengurangkan kemudaratan akibat penggunaan tembakau.

Pandangan itu dinyatakan ketika sesi meja bulat yang dihoskan oleh Malaysia Vapers Alliance (MVA), sebuah kumpulan advokasi pengguna vape tempatan, sempena Hari Vape Sedunia 2023 semalam.

Presiden Pusat Advokasi Rawatan Ketagihan Lanjutan (ACATA), Dr. Arifin Fii, yang juga merupakan pakar terapi ketagihan turut menyertai acara tersebut.

Bercakap semasa sesi soal jawab, Arifin menjelaskan sebagai pengamal perubatan dengan minat dalam terapi ketagihan, beliau telah menemui ramai pesakit yang mempunyai keinginan untuk berhenti, tetapi tidak mempunyai alat atau sokongan yang betul.

“Walaupun bantuan berhenti merokok sedia ada boleh digunakan, ia tidak terbukti berjaya bagi kebanyakan perokok.

“Alternatif seperti vape, yang telah terbukti secara saintifik kurang berbahaya daripada rokok dan merupakan bantuan berhenti merokok yang berkesan boleh memainkan peranan dalam mengurangkan kelaziman merokok,” katanya.

Arifin dalam sesi meja bulat menjelaskan pandangannya mengenai langkah GEG.

Mengenai GEG, Arifin berpandangan untuk melarang seluruh generasi daripada mengakses produk merokok, sama ada rokok atau vape, adalah sesuatu yang mulia tetapi bersifat terlalu idealistik.

Jelasnya, tidak ada satu negara pun yang telah menghapuskan sepenuhnya rokok dan vape, walaupun telah memperkenalkan dasar dan program yang menelan belanja sehingga berjuta-juta.

“Walaupun kita boleh menetapkan di atas kertas bahawa dengan GEG, seluruh generasi akan datang tidak akan mengenali rokok atau vape, realitinya, perokok yang ketagih, tanpa mengira umur akan mencari cara untuk mendapatkan produk yang mereka inginkan.

“Cara terbaik untuk menyokong individu ini adalah dengan memberi mereka alat yang betul untuk membantu mereka berhenti,” ujarnya.

Sentimen tersebut dikongsi bersama Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin, yang menegaskan bahawa meskipun merupakan wakil MVA, lebih daripada itu, beliau juga adalah bekas perokok yang berjaya berhenti menggunakan vape, yang secara ketara kurang berbahaya berbanding tembakau.

“Inilah sebabnya saya sangat bersemangat untuk memperjuangkan hak pengguna vape. Kita tidak boleh menolak kelebihan menerapkan strategi pengurangan bahaya di Malaysia jika kita mahu mengubah negara menjadi negara bebas tembakau menjelang 2040.

“Dasar GEG sudah pasti tidak akan mengurangkan kelaziman merokok kita kepada kurang daripada lima peratus, yang merupakan sasaran negara.

“Malah, kelaziman merokok kita mungkin akan meningkat kerana perokok akan beralih kepada saluran haram, yang tidak mempunyai garis panduan atau sekatan.

“Sudah lebih sejuta rakyat Malaysia menyuarakan penolakan mereka terhadap GEG. Dalam ruang ini, MVA menggesa kerajaan untuk menghapuskan cadangan dasar GEG dan mula mengiktiraf potensi vape sebagai alat pengurangan bahaya untuk membantu mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI