fbpx

Mahkamah: Permohonan Muhyiddin batal empat pertuduhan didengar 11 Julai depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 Julai bagi mendengar permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membatalkan empat pertuduhan suapan berjumlah RM232.5 juta.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes yang dihadiri pasukan pembelaan Muhyiddin itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk K. Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Grarib.

Bagaimanapun semasa prosiding, Muhyiddin tidak hadir di mahkamah selepas pembelaan menghantar surat dengan untuk kehadiran pemohon dikecualikan.

Terdahulu semasa prosiding, Hisyam berkata, pada tarikh akan datang, pihaknya akan mengemukakan hujahan yang panjang kerana ia membabitkan isu baharu.

“Kami mohon tiga hari untuk prosiding pendengaran kerana ia membabitkan isu lain termasuk empat pertuduhan dikenakan adalah cacat, jadi kami akan mengemukakan hujahan yang banyak,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Jamil berkata, mahkamah menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan tersebut, kerana satu hari sahaja memadai bagi prosiding tersebut.

Dalam notis usul yang difailkan Muhyiddin memohon supaya membatalkan empat tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Pengerusi PN ini turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapya selain berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berkutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, permohonan Muhyiddin untuk memindahkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga menerima wang hasil daripada aktiviti haram dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini, akan didengar di hadapan Hakim K.Muniandy pada 10 Julai.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sementara bagi pertuduhan kelima dan keenam Muhyiddin didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai presiden parti Bersatu telah menerima hasil daripada aktiviti haram masing-masing RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 4(1)(b) dibaca bersama seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama.

Kemudian pada 13 Mac lalu, Muhyiddin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI