fbpx

3 lagi ditahan kes pelajar sekolah gaduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di IPK, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan yang tercetus di kawasan Tampoi, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pergaduhan yang berlaku pada 11.40 malam itu dipercayai berlaku rentetan pergaduhan yang membabitkan pelajar sekolah di Kempas, di sini, Rabu lalu.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya telah menahan seramai 12 suspek termasuk beberapa pelajar sekolah yang berusia 17 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan dijalankan.

“Selepas kejadian pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah sekolah, Rabu lalu, pihak polis telah mengadakan pertemuan dengan ketua masyarakat serta penduduk setempat bagi menuetralkan keadaan yang tegang itu.

“Bagaimanapun, selang tiga hari kemudian, ada beberapa pihak yang mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan apabila menyerang seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Tampoi.

“Mereka ini tidak mempunyai mempunyai kaitan dengan kes tersebut. Hasil siasatan yang dibuat, kita telah menahan tiga individu lagi termasuk seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai banyak rekod lampau jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Khamis lalu, akhbar melaporkan beberapa pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan parah setelah terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di kawasan Kempas dipercayai berpunca akibat tidak puas hati dibaling pemadam pensel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI