fbpx

Luahan Pembaca: PIBG tak zalim, ada tabungan khas pelajar tak mampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANA PIBG penting bagi membiayai pelbagai program ditetapkan sepanjang tahun. – Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG,

Tamatnya Syawal, tiba masa untuk Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan antara perbincangan yang holistik adalah mengenai sumbangan.

Saya ingin berkongsi pengalaman tujuh tahun menjadi Yang Dipertua (YDP) PIBG sekolah rendah dan sekolah berasrama penuh yang berada dalam kalangan kelompok 10 sekolah terbaik.

Untuk sekolah rendah yang mempunyai antara 800 ke 1,000 murid, bagi menjalankan aktiviti wajib tahunan PIBG memerlukan antara RM36,000 hingga RM50,000 untuk satu sesi.

Aktiviti wajib seperti Hari Anugerah Kecemerlangan, Hari Sukan, Hari Kanak-kanak, Hari Raya, Hari Guru dan beberapa aktiviti menghiasi kalender persekolahan setiap tahun.
Jika ada aktiviti tambahan maka bertambahlah kos.

Katakan sumbangan PIBG sekolah rendah ialah RM50 untuk setiap keluarga dan 1,000 pelajar datang daripada keluarga berbeza, maka PIBG boleh mendapatkan RM50,000.

Namun hakikatnya sepanjang perkhidmatan saya, hanya 60 peratus bayar kecuali sekolah berasrama penuh, peratusan pembayarannya tinggi.

Di sekolah berasrama penuh yang berada di kelompok 10 terbaik negara memerlukan ratusan ribu ringgit setahun untuk mengekalkan prestasi dan berkemungkinan memperbaiki prestasi tahun sebelumnya.

PIBG tidak pernah zalim dan bersifat diktator. Terdapat PIBG yang ada tabungan khas untuk untuk keluarga bermasalah kewangan. Yang penting jangan malu tulis surat kepada PIBG.

PIBG juga membuka peluang untuk ibu bapa lain yang berkemampuan kewangan untuk melunaskan pembayaran bagi anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Kesimpulannya ada banyak alternatif dalam melunaskan pembayaran sumbangan tersebut. Nasihat saya kepada semua PIBG, jangan sesekali melupuskan pembayaran bagi keluarga yang kurang mampu.

Ini akan menyebabkan kantung kewangan PIBG menjadi kurang berdaya saing dan bukanlah satu pengurusan kewangan yang baik.

Bukan senang mencari dana untuk aktiviti PIBG. Ini kerana tiada insentif diberikan kepada penderma. Oleh itu, saya menyeru, Lembaga Hasil Dalam Negeri memberikan pelepasan cukai penuh kepada individu atau syarikat yang menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG.

Saya juga mencadangkan supaya ada penyelarasan daripada kementerian mengenai pengurusan akaun PIBG supaya dana bebas cukai yang akan dinikmati dapat diuruskan dengan baik oleh AJK PIBG. PIBG lestari pemangkin generasi madani.

Mohammad Noorizzuddin Nooh
Mantan YDP PIBG 2016-2023

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI