fbpx

Kes Lokman Adam buat komen jelik kepada Ismail Sabri dibicara 10 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 10 hari bermula September dan Oktober ini bagi perbicaraan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, dalam kes dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan tahun lalu.

Tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan itu ialah 5, 6, 7, 11 dan 18 September serta 9, 10, 11, 23 dan 24 Oktober.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh, turut memaklumkan pihaknya dijangka akan memanggil seramai 10 saksi untuk perbicaraan berkenaan.

Sementara itu, peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memaklumkan tiada bantahan terhadap tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkap selain mengesahkan tarikh-tarikh itu telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Justeru Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudian menetapkan 1 Ogos depan bagi pengurusan kes seterusnya dan kehadiran Lokman dikecualikan.

Pada tarikh itu, pihak pendakwaan juga perlu memaklumkan kepada mahkamah berhubung representasi yang dihantar terhadap dua pertuduhan itu.

Pada 1 September tahun lalu, Lokman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengikut pertuduhan pertama membabitkan bekas Perdana Menteri, beliau dituduh melakukan perbuatan itu pukul 11.16 malam pada 20 Ogos 2022.

Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pukul 8.15 pagi pada 24 Ogos tahun sama di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pukul 10.28 malam, 22 Ogos tahun sama dan pautan itu kemudian dibaca pukul 11.30 pagi pada 23 Ogos di sebuah restoran, di Jalan Sentul, di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI