fbpx

LIMA’23 catat sejarah, diiktiraf terbaik sejak 1991

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai membanjiri landasan kapal terbang untuk melihat pameran statik segmen aeroangkasa sempena LIMA’23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi, semalam.

PENGANJURAN Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) disifatkan yang terbaik setakat ini apabila berjaya menarik lebih 45,000 delegasi perdagangan serta 525 pempamer daripada syarikat pertahanan dan komersial dari seluruh dunia.

Antara nama besar yang mengambil bahagian adalah AAT, Airbus, Aselsan, Boeing, Brahmos, CETC, Damen, EDGE, Embraer, Fincantieri, Gading, KAI, Kongsberg, Leonardo, Lockheed Martin, MBDA, Thales dan Industri Aeroangkasa Turki.

Di samping itu, sebanyak 18 negara mempunyai astaka negara pada pameran berkenaan termasuk Australia, China, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Belanda, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Pameran berprestij yang berlangsung sejak 23 Mei lalu itu menghimpunkan pegawai kanan kerajaan dan pegawai tertinggi tentera.

Seramai 250,000 pengunjung memeriahkan pameran terutama pada dua hari terakhir apabila ia dibuka kepada orang awam.

Kali terakhir pameran dwitahunan itu dianjurkan pada 2019 dan ia ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Edisi kali ke-16 dengan tema Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia tersebut dianjurkan Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. melibatkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyertaan daripada pihak-pihak berkaitan dari dalam dan luar negara kali ini sangat meriah dan lebih banyak berbanding LIMA’19.

“Penyertaan pasukan aerobatik untuk pertunjukan udara kali ini adalah terbesar dalam sejarah LIMA iaitu melibatkan lima pasukan yang bukan calang-calang iaitu dari Russia, China, Korea Selatan, Indonesia dan UAE,” katanya baru-baru ini.

Katanya, terdapat 119 pesawat terlibat dalam pertunjukan udara dan pameran statik selain 40 kapal bagi segmen maritim.

“Sambutan yang diterima sangat baik sehingga kita terpaksa tidak menerima penyertaan pada saat akhir kerana mengambil kira beberapa perkara termasuk tempat,” ujarnya.

Pengunjung teruja mencuba senjata yang dipamerkan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi.

Pada LIMA kali ini juga Kementerian Pertahanan memeterai sebanyak 43 kontrak bernilai RM10.128 bilion dengan syarikat berkaitan pertahanan bagi memperkukuhkan lagi ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani perjanjian tersebut.

Dokumen kontrak itu antaranya melibatkan penerimaan empat helikopter Sikorsky UH-60A+Black Hawk, 18 pesawat tempur FA-50 Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

 

Kementerian juga dalam perancangan untuk memperoleh lebih banyak aset pertahanan di bawah Rancangan Malaysia seterusnya meskipun negara masih berdepan dengan impak ekonomi ekoran pandemik serta perlu berhadapan dengan bajet yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.

Kementerian dan ATM tetap komited untuk saling bekerjasama demi memastikan pertahanan dan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.

Untuk rekod, LIMA’19 mencatatkan seramai 42,030 delegasi perdagangan membabitkan 406 pempamer terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa serta kunjungan 240,000 pelawat awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI