fbpx

31 individu beragama islam minum arak ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara individu yang ditahan pihak penguat kuasan dalam serbuan operasi bersepadu di ibu negara, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 31 individu beragama Islam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas didapati mengambil minuman keras dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan, malam tadi.

Kesemua individu itu ditahan dalam serbuan membabitkan lapan pusat hiburan sekitar Jalan Haji Taib, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan dan Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook berkata, seramai 18 orang lelaki dan 13 orang wanita didapati melakukan pelbagai kesalahan syariah berkaitan minum minuman yang memabukan.

“Individu terbabit akan dikeluarkan Surat Perintah Hadir (SPH) untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, Operasi Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilaksanakan itu untuk mengenal pasti premis-premis hiburan yang didapati melanggar peraturan, selain mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Jelas kenyataan itu, operasi berkenaan turut membabitkan agensi penguatkuasaan lain terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAWI, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Pihak Kastam turut mengambil tindakan sitaan melibatkan beberapa jenis minuman keras terhadap pemilik premis menerusi kesalahan dibawah Akta Eksais 1976 (Akta 176).

“Barang yang disita akan dibawa ke pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam operasi sama, DBKL turut mengambil tindakan menutup tiga premis hiburan atas kesalahan beroperasi tanpa kebenaran di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

Bahagian Penguatkuasa DBKL juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik/deejay) tanpa kebenaran dan mengeluarkan tiga notis kompaun-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI