fbpx

Nombor pendaftaran paling banyak disaman dalam Op Bersepadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara motosikal yang diperiksa menerusi Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Saman nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan paling banyak dikeluarkan dalam Op Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Nasri Omar berkata, pihaknya mengeluarkan keseluruhannya 48 saman dalam operasi pukul 9 malam itu.

“Polis telah mengeluarkan sebanyak 48 saman kepada pemandu dan penunggang atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Kesalahan nombor plat adalah paling tinggi iaitu 19, diikuti tiada lesen memandu (9), tidak pamer P (4), cermin sisi (4) dan lain-lain,”katanya.

Menurutnya, operasi yang diketuai Pegawai Turus Zon Tengah B, ASP Amir Che Ya turut dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Berhad.

“JPJ turut mengeluarkan 77 saman manakala JAS tujuh saman membabitkan empat motosikal serta tiga lori atas kesalahan ekzos bising dan asap hitam.

“AADK turut menahan 11 lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun kerana didapati positif dadah,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya menjalankan operasi bagi memastikan undang-undang trafik dipatuhi sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya.

“JSPT komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar kita semua kekal selamat semasa berada di atas jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI