DAUN mengkuang dipotong dan dikerat sama panjang mengikut ukuran yang diperlukan serta disusun mengikut rangkap.
Kemudian, daun-daun tersebut dilayur di atas bara api sehingga bertukar kekuningan.
Langkah itu dilakukan supaya daun menjadi lembut dan tahan lama serta tidak mudah patah.
Setelah selesai, duri empulor di bahagian tengah daun dibuang dengan menggunakan batu. Sementara duri di kiri dan kanan daun dibuang dengan menggunakan pisau.
Daun-daun mengkuang itu seterusnya dijemur selama sehari di bawah sinaran matahari bagi memudarkan warnanya.
Begitulah rutin yang dilalui oleh Aminah Naim, 73, pada waktu pagi bagi memenuhi permintaan sektor pelancongan di Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.
Tampil sebagai satu-satunya pengusaha kraf tangan berasaskan mengkuang di kawasan tersebut, Aminah masih mahu terus menyumbang kudrat dalam usaha pelestarian kraf tersebut.
“Saya masih mahu meneruskan usaha ini selagi kudrat terdaya. Tetapi sekarang, saya hanya menumpukan kepada pembuatan tudung saji, hiasan dinding, topi sawah dan tikar mengkuang.
“Saya sudah tidak larat untuk menganyam kraf seperti beg tangan macam dahulu.
“Ini kerana produk itu memerlukan anyaman yang lebih kecil dan halus.
“Anak-anak suruh saya berehat dan mengajak saya ke bandar bersama mereka.
“Tetapi jiwa dan minat saya masih di sini (Sungai Panjang)” katanya kepada K2 ketika ditemui di Nazbell Cottage & Garden, Sungai Besar.
Terdahulu, Tourism Selangor memperkenalkan kraf tangan mengkuang Aminah sebagai salah satu produk industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah tersebut.
Pada kunjungan tersebut, wanita berketurunan Melayu dan Jawa Ponorogo itu menunjukkan demonstrasi pembuatan hiasan dinding berbentuk kon atau topi.
Sebanyak 18 helai daun bersaiz sederhana yang sudah dijemur diperlukan dalam pembuatan hiasan dinding klasik itu.
“Tiga helai daun disusun bersama dan dijahit menggunakan tali rafia bagi menghasilkan kepingan daun yang sudah dikambi.
“Enam kambi ini disusun secara bersilang di dalam besen bulat kecil dan batu diletakkan di tengah-tengah silang tersebut bagi menghasilkan bucu.

“Kemudian ‘stapler’ atau pakai lidi pada bahagian kambi yang bertindih agar mudah untuk dijahit,” jelasnya sambil menekan-nekan daun mengkuang tersebut bagi mendapatkan bentuk kon.
Kemudian, wanita yang mempelajari cara pembuatan kraf mengkuang daripada ibunya itu menjahit di keliling kon berkenaan.
Bahagian bawah kon pula dililit menggunakan pelepah kelapa sawit bagi mengukuhkan lagi bentuk topi mengkuang.
Topi mengkuang pada asalnya tidak memiliki warna dan kelihatan polos, namun Aminah membuat inovasi dengan menambah hiasan serta warna ceria pada produknya itu.
Ilham untuk menambahkan lagi keceriaan pada hasil tangannya itu diperoleh ketika dia mengunjungi salah sebuah negeri di Borneo bersama bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon sekitar tahun 2013 hingga 2014.
“Saya tak ingat negeri mana saya pergi bersama Noriah, tetapi di Borneo. Kraf mereka memiliki warna yang ceria.
“Dari situ, saya mula mengambil inspirasi untuk menambahkan tarikan pada produk mengkuang saya.
“Saya melukis bentuk di atas kertas keras sebelum memotong dan menjadikannya sebagai acuan kepada lukisan saya,” ujarnya.
Menyedari kudratnya semakin dimamah usia, Aminah berusaha mengajak golongan muda untuk meneruskan kraf tersebut.
Namun, usaha itu menemui jalan buntu kerana kebanyakan golongan muda sudah tidak berminat dengan kraf berkenaan.
Menurutnya, proses yang remeh serta ketajaman duri daun mengkuang membuatkan ramai tidak mahu terlibat dalam pembikinan kraf berkenaan.
Biarpun mengakui sedih dengan keadaan tersebut, namun Aminah tidak menolak pengaruh perubahan zaman terhadap reaksi golongan muda ketika ini.
“Saya ada terfikir tentang warisan kraf ini. Kebanyakan golongan muda hanya berminat pada proses menganyam dan melukis corak.
“Namun, tidak pada proses mencari mengkuang dan penyediaan daun secara keseluruhan.
“Saya faham kerana anak-anak saya juga tidak berminat dengan kraf ini. Mereka sudah memiliki kerjaya masing-masing di bandar,” ujarnya yang mempelajari kraf itu pada usia 16 tahun.
Pada usia 18 tahun, Aminah menyertai kursus di Institut Kemahiran Mara di Petaling Jaya, Selangor anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) sekitar tahun 60-an untuk menambahkan lagi kebolehpasaran produk diusahakannya.
Sejak itu, Aminah menjana pendapatan menerusi hasil kraf daripada mengkuang sehingga mampu menunaikan ibadah haji sekitar tahun 90-an.
Pendapatan tersebut juga membantunya untuk menyara lapan anak kandung serta lima anak tiri sehingga ke menara gading setelah kematian suami pada 2008.
“Saya bersyukur dengan kemahiran yang ada pada saya ini, walaupun pekerjaan ini tidak popular pada masa sekarang.
“Sekurang-kurangnya saya tidak mengemis dan mampu membesarkan anak-anak saya dengan penghasilan produk berasaskan mengkuang sebagai sumber pendapatan utama“Saya juga suka memancing, jadi saya jual ikan kering dan pekasam hasil pancingan. Selain itu, saya ambil upah jahit baju dan menyertai kumpulan marhaban,” ujarnya.














