fbpx

Jangan henti subsidi elektrik mengejut – Pakar ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI, WARTAWAN EKSEKUTIF

PENDEKATAN kerajaan tidak memberikan subsidi termasuk elektrik kepada golongan berpendapatan tinggi atau T20 menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat di negara ini.

Penyelarasan tersebut akan dibuat menerusi Pangkalan Data Utama (PADU). Ia me­rupakan dasar baharu dan drastik yang diperkenal bagi melonjakkan ekonomi negara dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.

Pengumuman itu menarik perhatian pengkaji ekonomi yang berpandangan cadangan tersebut boleh dilaksanakan, namun secara berperingkat.

Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sebelum bergerak jauh masyarakat terlebih dahulu perlu mengetahui konsep dan tujuan pemberian subsidi kepada rakyat.

“Subsidi adalah satu bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan yang ditentukan melalui pendapatan mereka. Di Malaysia, ada B40, M40 dan T20. Tapi pada pandangan saya, pengkelasan itu tidak berapa tepat,” katanya kepada Kosmo!.

Sebagai contoh, beliau berkata, ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai golongan profesional seperti juruterbang kehilangan kerja, jadi mereka mungkin tergolong dalam B40 dan M40.

“Jadi kerajaan tidak boleh guna pengkelasan sebegitu untuk menentukan bantuan. Harus ada maklumat terperinci setiap isi rumah,” ujarnya.

Barjoyai turut menyuarakan kebimbangan apabila kerajaan menghentikan subsidi elektrik kepada T20 terutama ahli perniagaan yang akhirnya akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kadar inflasi di Malaysia adalah yang terendah berbanding negara Asia dan maju di dunia. Antara sebabnya kerajaan beri subsidi tidak bersasar kerana subsidi harga barangan terkawal.

“Bila kerajaan bakal hapus subsidi, golongan itu terkejut dan kemungkinan harga barang naik. Jadi saya cadang kita perlu wujudkan program yang teratur dan lakukan secara berperingkat.

“Kerajaan perlu beri amaran dahulu kepada golongan sasaran dan baru hapus,” jelasnya.
Pensyarah Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali pula berpendapat, daripada sudut ekonomi, penarikan semula subsidi elektrik kepada golongan mampu itu berupaya menjimatkan pendapatan negara.

Ujarnya, dalam konteks pembangunan ekonomi, pemberhentian subsidi elektrik kepada T20 dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan, dan lebihan itu dapat disalurkan kepada pihak lain.

“Langkah ini ada baik dan buruknya jika dilihat secara kese­luruhan. Namun saya faham, ada segelintir T2O tidak akan bersetuju dengan pendekatan yang bakal diambil ini kerana membebankan mereka,” katanya.

Tambah Nuradli, secara mikro, golongan T20 dilihat sebagai kelompok individu yang mampu jika mereka mempunyai pendapatan yang betul-betul tinggi.

Namun, ada segelintir T20 yang boleh dikategorikan sebagai ‘cukup-cukup makan’ jika ada tanggungan yang ramai.

“Ada golongan T20 hidup se­perti M40. Mereka ada tanggu­ngan ramai. Anak-anak tidak mendapat biasiswa, jadi ia tidak jauh beza dengan M40,” katanya.

Nuradli bagaimanapun berharap kelompok T20 itu memahami pendekatan yang diambil kerajaan adalah untuk mengurangkan perbelanjaan dan mendisiplinkan masyarakat.

“Apabila penjimatan dapat dibuat, lebihan tersebut boleh digunakan untuk sektor lain bagi pembangunan ekonomi,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI