fbpx

Telefon, tablet punca Riezman Khuzaimi kena slip disc

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERAP menunduk menggunakan telefon bimbit dan tablet antara punca Riezman berdepn masalah slip disc.

KUALA LUMPUR – Berdepan masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc lebih sebulan lalu memberi tekanan kepada pelakon, Riezman Khuzaimi, apabila tidak lagi boleh melakukan kerja berat mahupun aktiviti lasak.

Katanya, rutin bermotosikal yang biasa dilakukan sebagai riadah juga terpaksa dihentikan buat sementara bagi mengelakkan kesakitan pada bahagian lehernya bertambah teruk.

“Pada usia melepasi garis 50-an ini saya kerap beriadah untuk keluarkan peluh bersama isteri dan kawan-kawan selain dengan kembara bermotosikal.

“Tetapi selepas terkena slip disc pada tulang C4 dan C5 pada bahagian tengkuk, doktor nasihatkan supaya tinggalkan seketika hobi itu selain jangan buat kerja berat.

“Pada awalnya memang emosi terganggu kerana pergerakan kita jadi terhad hingga sikap saya juga mula berubah dan asyik nak marah akibat tertekan.

“Tetapi lama kelamaan saya cuba positifkan diri, ikut nasihat doktor, jalani fisioterapi serta tukar hobi lama kepada membaca buku,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di majlis pelancaran Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di sini, semalam.

Riezman yang juga penganjur konsert tersebut memaklumkan antara faktor terjadi masalah urat tersepit pada tulang tengkuknya itu berkemungkinan kerana kerap menghadap skrin komputer dan telefon pintar.

Begitupun, dia hanya perlu memakai pendakap leher setiap hari, menjalani fisioterapi secara berkala tanpa perlu melalui pembedahan yang dikhuatiri boleh membahayakan nyawa.

“Saya banyak bekerja menggunakan telefon bimbit, tablet dan komputer. Mungkin postur badan yang kerap menunduk dalam tempoh panjang mengakibatkan masalah ini.

“Disebabkan sakit pada bahagian tengkuk, doktor nasihatkan tidak perlu melakukan pembedahan kerana kebarangkalian untuk pulih hanya 50-50, selain merbahaya,” katanya yang pada awalnya berasa kebas di bahagian tangan.

Sementara itu, mengenai Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang bakal berlangsung di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada 12 Ogos depan, persembahan mega ini bakal membariskan penyanyi dua negara.

Antaranya adalah Ani Mayuni dan Baby Shima selain artis dangdut popular Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesti Klepek Klepek dan Rhena Morena.

Dianjurkan Mission Sight Sdn. Bhd, tiket konsert sudah mula dijual di www.ticket2u.com. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI