fbpx

Suami isteri aktif curi susu formula dijel 12 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. AZLEE dan Noor Bayah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan mencuri susu formula. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

MELAKA – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku mencuri 20 kotak susu formula bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya pada Februari lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Azlee Ibrahim, 39, dan isterinya, Noor Bayah Ab. Manaf, 31, yang membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 5 petang hingga pukul 7.45 malam di Pasar Raya Aeon Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Februari 2023.

Sabit kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan bukan disebabkan kesempitan hidup.

Difahamkan, tertuduh juga mempunyai rekod kes sama dan bergerak aktif di beberapa negeri dengan menjual susu berkenaan kepada pelanggannya.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malik yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman penjara berjalan dari tarikh ditangkap iaitu 16 Februari 2023, selain memaklumkan anak guamnya itu mempunyai empat anak, manakala Noor Bayah kini sedang hamil tiga bulan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah bersetuju menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap bagi setiap tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI