fbpx

Minggu keselamatan jalan raya tingkatkan kesedaran pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idzqandar (kiri), Kulanthayan (dua dari kiri) Wong (dua dari kanan) dan Marizwan (kanan) ketika sesi bergambar selepas pelancaran program tersebut. - Foto oleh TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersekutu bagi keselamatan jalan raya, Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan program Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketujuh, hari ini.

Bertemakan ‘Rethink Mobility’, program yang dijalankan setiap dua tahun tersebut bertujuan memberi kesedaran umum tentang kaedah untuk mengatasi kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi di peringkat global.

Seterusnya, program yang bermula 15 hingga 21 Mei ini menekankan penggunaan pengangkutan awam selain berbasikal dan berjalan kaki sebagai kaedah perjalanan alternatif bagi membantu mengurangkan kemalangan di jalan raya.

la juga bertujuan mengajak semua pihak berkenaan termasuk penggubal dasar, operator perkhidmatan pengangkutan awam serta pengguna jalan raya untuk memikir semula kaedah pergerakan (mobiliti) yang lebih selamat bagi orang ramai.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM, Professor Dr. Kulanthayan KC Mani berkata, setiap tahun, kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia menjadi mangsa kemalangan jalan raya yang mana telah mengakibatkan seramai 1.3 juta individu maut.

Jelasnya, kemalangan jalan raya merupakan pembunuh utama kanak-kanak dan golongan muda di peringkat global.

“Pada tahun 2022, Malaysia mencatatkan 545,630 kemalangan dimana satu kemalangan berlaku setiap minit serta 6,067 mangsa maut dalam kemalangan jalan raya atau satu kematian setiap 90 minit.

“Dengan kerjasama semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, NGO dan pengguna jalan raya, kita dapat membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kehilangan nyawa di jalan raya,” ujarnya ketika pelancaran program berkenaan di Menara UOA Bangsar, di sini, pagi.

Turut hadir Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar, Pengarah Bahagian Keselamatan Jalan Raya (BKJR), Dr. Wong Yau Dueen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan.

Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan peranan Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas kepada orang ramai, Idzqandar berkata, pihaknya juga giat berusaha untuk mendidik pengguna jalan raya supaya mengurangkan kelajuan kenderaan mereka.

“Sebagai operator perkhidmatan pengangkutan awam terbesar negara, Prasarana komited dalam memainkan peranan kami bagi menggalak serta memperkasa penggunaan pengangkutan awam.

“Melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Prasarana, harapan kami adalah agar kesesakan jalan raya dapat dikurangkan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Ujarnya lagi, antara inisiatif yang dilaksana Prasarana termasuk kolaborasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mewujudkan laluan khas bas bagi menambah baik kebolehpercayaan perkhidmatan.

Selain itu, pas perjalanan My50 untuk rakyat Malaysia dan kerjasama strategik dengan Kumpool serta penyedia-penyedia perkhidmatan e-hailing yang lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI