fbpx

Golongan belia digalak ceburi ekopelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUANKU Syed Faizuddin mencuba peralatan merakam visual ketika perasmian dokumentari dan pelancaran buku 'Wang Kelian - The Forgotten Valley di Kuala Perlis, hari ini. - Foto oleh IZLIZAN OTHMAN / KOSMO!

KUALA PERLIS – Golongan belia digalakkan menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan khususnya ekopelancongan bagi menjana pendapatan dan memperkasakan lagi aktiviti komuniti.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ekopelancongan tidak hanya memberi manfaat kepada para pengunjung, tetapi ia juga memberi kesan yang positif terhadap komuniti setempat.

“Melalui ekopelancongan, masyarakat setempat boleh menjana pendapatan melalui pelbagai kegiatan ekonomi.

“Sebagai contoh, pelbagai aktiviti pelancongan seperti pemandu pelancong, menjalankan perniagaan makanan dan minuman berasaskan warung, mendirikan inap desa dan sebagainya,” titah baginda sewaktu melancarkan dokumentari ‘Wang Kelian – The Forgotten Valley’ di sebuah hotel di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengucapkan syabas kepada pihak Roots and Shoots Malaysia dan Perlis Nature and Wildlife atas kejayaan program ‘Wang Kelian, Perlis – The Forgotten Valley’, yang baru dilaksanakan dengan sokongan padu daripada Think City, The Habitat Foundation serta Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Baginda turut mengucapkan tahniah pihak yang terlibat dalam projek ini kerana telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan lagi kesedaran dan menghargai kepelbagaian biologi serta alam semulajadi Wang Kelian dan Kaki Bukit yang juga merupakan sebahagian daripada rizab Taman Negeri Perlis.

“Melalui projek ini juga keindahan alam semulajadi, keunikan kepelbagaian biologi serta keistimewaan warisan sejarah tempatan Wang Kelian, Kaki Bukit dan Taman Negeri Perlis dapat dizahirkan di dalam bentuk buku, pameran dan juga dokumentari.

“Tempat-tempat ini memiliki pelbagai jenis tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma yang unik dan jarang ditemui di negeri lain dan juga berpotensi menyumbang kepada pembangunan dan merancakkan lagi industri ekopelancongan di negeri Perlis ini,” titahnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI