fbpx
GAMBAR 2 Mei lalu menunjukkan rampasan kokain seberat 4.2 tan oleh polis Sepanyol. – AFP

‘Ekonomi gelap’ jahanamkan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tamadun manusia dan aktiviti ekonomi berpisah tiada. Sebut sahaja empayar di dunia, Rom, Parsi, dinasti Han, Melaka, semuanya pernah menjadi pusat perdagangan dan ekonomi.

Hingga hari ini, ekonomi menjadi nadi sesebuah negara. Malaysia aman dan makmur selepas kerajaan merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Namun, tidak ramai yang tahu tentang sisi yang dipanggil ‘ekonomi gelap’. Ia merujuk kepada ekonomi yang dijana daripada aktiviti jenayah.

Sementelah perniagaan dan dagangan ‘halal’ menjana ekonomi dan memakmurkan negara, aktiviti haram pula menjahanamkan tamadun walaupun mendatangkan pulangan lumayan.

Sebab utama manusia sanggup menjerumuskan diri ke dalam jenayah ialah wang.

Ada beberapa jenayah merentasi zaman dan sempadan serta hampir mustahil untuk dibanteras sekalipun masyarakat antarabangsa menggembleng usaha bersama kerana pulangannya amat lumayan.

Antaranya termasuk penyeludupan dadah. Dadah pernah menumbangkan banyak kerajaan dan juga negara.

Sejarah menyaksikan dinasti maharaja China tumbang kerana candu. Pengedar dadah antara terbesar suatu masa dulu bukanlah kumpulan penjenayah atau kartel.

Pengedar dadah terbesar dunia suatu masa dahulu ialah Empayar British yang berniaga candu. Ini adalah sejarah bukan tohmahan.

Malah, kumpulan Taliban (kini kerajaan Taliban) yang mengaku memperjuangkan Islam, menjual candu untuk membiayai perang menentang pendudukan Amerika Syarikat meskipun tahu ia bertentangan dengan agama.

Menurut beberapa sumber, aktiviti penyeludupan dadah di seluruh dunia dianggarkan menjana pendapatan antara AS$426 bilion (RM1.9 trilon) hingga AS$652 billion (RM2.9 trilion)

Namun, jenayah itu tidak setanding rasuah. Ini antara lain kerana sumber rasuah datang daripada kedua-dua aktiviti ekonomi yang halal dan haram.

Menurut anggaran popular, tetapi tidak boleh digunakan sebagai rujukan akademik, jumlah yang hilang daripada perbendaharaan negara di seluruh dunia akibat rasuah mencecah AS$2.6 trilion (RM11.8 trilion) atau lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berjumlah AS$142 trilion (RM644 trilion).

Angka sebenar pastinya jauh lebih tinggi, malah tidak menghairankan jika mencapai 10 peratus KDNK global atau lebih tinggi.

Melihat kepada jumlah wang yang terlibat, penulis tentunya tidak perlu menjelaskan mengapa dua jenayah ini agak mustahil dibanteras sepenuhnya.

Anda tentunya faham sendiri. Mungkin pepatah Inggeris crimes doesn’t pay tidak lagi relevan pada masa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN