fbpx

TH buka lebih 45 kumpulan WhatsApp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ashrof menunjukkan kumpulan WhatsApp yang akan menjadi medium penyampaian maklumat kepada jemaah haji Malaysia pada sidang akhbar di Madinah semalam.

MADINAH – Tabung Haji (TH) akan membuka sebanyak 45 buah kumpulan WhatsApp untuk fasa satu sebagai medium untuk menyalurkan maklumat kepada jemaah haji sepanjang mereka berada di Tanah Suci.

Kumpulan itu akan bertambah sebaik kesemua jemaah haji yang berjumlah lebih 31,600 orang berada di haramain sebelum tibanya hari wukuf pada 9 Zulhijjah atau bersamaan 27 Jun depan.

Jemaah boleh menyertai kumpulan itu dengan mengimbas kod QR yang diedarkan kepada mereka.

Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin berkata, satu majlis ringkas akan diadakan sebaik kumpulan pertama jemaah haji seramai 284 orang tiba pada pukul 5.50 pagi (waktu tempatan) pada Ahad ini melalui Lapangan Terbang Putera Muhammad Bin Abdulaziz.

Difahamkan seramai 14,000 jemaah haji Malaysia akan tiba di sini sehingga 4 Jun depan manakala bakinya akan terbang terus ke Mekah.

Katanya, beberapa aktiviti telah diatur untuk jemaah selama enam hari mereka berada di Madinah seperti memasuki raudah, menziarahi makam Rasulullah SAW dan melawat tempat-tempat bersejarah.

“Mereka kemudian akan berangkat ke Mekah sehingga hari wukuf tetapi masih kekal berada dalam kumpulan WhatsApp yang sama dan hanya pentadbirnya sahaja ditukar bagi meneruskan penyaluran maklumat berkaitan haji.

“Bagi warga emas yang mungkin tidak mahir dengan aplikasi itu, mereka boleh mendapatkan maklumat melalui rakan sebilik atau bertanya kepada petugas TH yang berada di kaunter pertanyaan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Ashrof, objektif penubuhan kumpulan WhatsApp itu ialah untuk menyalurkan maklumat secara tepat dan cepat supaya tidak keliru.

Tambahnya, seramai 150 petugas TH di sini telah bersedia untuk menerima dan menyantuni kesemua jemaah haji yang akan menetap sementara di tiga zon iaitu Anwar Movenpick, Saja Al-Madinah serta Emmar Royal.

“Beberapa perkhidmatan lain turut disediakan iaitu kaunter perubatan, kaunseling dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas). Jemaah digalakkan untuk merujuk aplikasi Thijari dan e-bimbingan untuk mendapatkan maklumat dan perkara mengenai ibadat haji,” katanya.

Jemaah yang berada di Madinah selepas musim haji akan pulang ke tanah air bermula 18 Julai sehingga 1 Ogos. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI