fbpx

Seleweng dana RM2.3 bilion: Bekas menteri kanan disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka beberapa kertas siasatan bagi menyiasat seorang tokoh perniagaan dan seorang bekas menteri kanan berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion.

Kertas siasatan terhadap kedua-dua individu itu dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurut sumber, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit dibuat International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

“Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham terbabit dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an.

“Ia telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” katanya di sini tadi.

Menurut sumber, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut.

“Dalam pada itu, siasatan juga meliputi pemilikan aset berharga dikenalpasti SPRM dimiliki oleh ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan luar negara.

“SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan itu termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan berkaitan dokumen sulit didedahkan oleh Pandora Papers,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI