fbpx

Pulau Pinang masih bebas rabies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Saira(dua, kanan) pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Penyakit Haiwan dan Hari Bertemu Pelanggan sempena majlis sambutan Aidilfitri JPV Pulau Pinang di Jalan Bukit Tengah hari ini.

SEBERANG PERAI – Pulau Pinang masih bebas daripada kes rabies setakat ini sejak kali terakhir kes positif mengenai jangkitan virus itu dilaporkan di negeri ini kira-kira lapan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, hal ini demikian kerana setiap tahun, pihaknya akan mengaktifkan survelan serta persampelan bagi mengesan virus tersebut dalam kalangan anjing yang berisiko.

Menurutnya, namun sehingga kini keputusan yang diterima mengenainya adalah negatif.

“Bagi kes gigitan anjing pula, kita akan mengambil sampel (otak) daripada anjing liar manakala anjing yang bertuan pula akan dikuarantin selama 14 hari terlebih dahulu untuk diawasi sekiranya terdapat simptom yang berkaitan.

“Anjing yang dijangkiti rabies biasanya akan mati dalam tempoh berkenaan (14 hari). Tapi, jika sebaliknya berlaku (tidak ada tanda jangkitan atau tidak mati), maka, kita akan lepaskan anjing itu kerana ia tidak dijangkiti rabies,” katanya semasa perasmian Kempen Kesedaran Penyakit Haiwan dan Hari Bertemu Pelanggan sempena majlis sambutan Aidilfitri JPV Pulau Pinang di Jalan Bukit Tengah, di sini hari ini.

Selasa lalu, Kosmo! melaporkan sebanyak 11 kes rabies dilaporkan di Sarawak bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mei lalu dengan sembilan kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataannya berkata, ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak kini mencecah 66 kes dengan 59 kematian dilaporkan secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Saira Banu memberitahu, sehingga kelmarin, 21 daripada 30 buah ladang babi komersial yang dikesan positif wabak demam babi Afrika (ASF) sebelum ini telah dilupuskan dengan kaedah pelemasan iaitu menggunakan gas karbon dioksida.

Beliau berkata, baki sembilan lagi ladang babi pula diarahkan disembelih di rumah sembelih yang ditetapkan setelah negatif ujian kali kedua.

Tambah beliau, secara keseluruhannya, sebanyak 27,344 ekor babi telah dilupuskan setakat ini dengan 26,570 ekor daripadanya dimatikan menggunakan gas karbon dioksida manakala selebihnya dilaporkan telah mati sendiri di ladang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI