PETALING JAYA – Rakyat negara ini sanggup mengeluarkan belanja besar untuk melancong ke luar negara selepas pandemik Covid-19 berakhir, meskipun masih ramai yang bergelut dengan kos sara hidup tinggi ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Peningkatan harga tiket penerbangan ke luar negara sehingga 70 peratus tidak menjadi halangan buat rakyat Malaysia untuk makan angin di negara lain.
Data menunjukkan sebanyak 2.3 juta pasport dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dalam masa lapan bulan sejak April hingga Disember lalu. Pada tahun ini pula, jumlah pasport yang dikeluarkan jabatan itu lebih 1.6 juta keping, setakat 12 Mei lalu.
Antara negara yang menjadi pilihan rakyat Malaysia ialah Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun, Korea, Uzbekistan, Turkiye, Switzerland, China, Korea, Jepun dan United Kingdom.
Menurut Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Datuk Noor Zaleha Baharuddin, peningkatan jumlah rakyat tempatan ke luar negara dijangka naik mendadak tahun ini berbanding 1.4 juta orang yang berbuat demikian pada 2021.
Beliau berkata, pelancongan ke luar negara kini seolah-olah menjadi gaya hidup dalam kalangan orang Malaysia selain didorong oleh lepas geram untuk melancong (revenge tourism).
“Revenge tourism ini terjadi kerana tawaran tiket tambang yang berpatutan oleh syarikat penerbangan, mahu lepas geram untuk melancong kerana mereka terkurung selama lebih dua tahun disebabkan Covid-19 dan pembukaan pintu sempadan China.

“Sewaktu Covid-19, harga tiket kapal terbang ke Jepun boleh diperoleh serendah RM1,900, manakala London pula RM2,500. Sekarang harganya sudah meningkat sebanyak 70 peratus, namun masih dibeli,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jelas Noor Zaleha, usaha agensi pelancongan yang dilihat agresif dalam mempromosikan pakej-pakej pelancongan yang menarik menerusi ekspo dan secara dalam talian merupakan antara penyumbang sektor ini semakin mendapat sambutan.
Disebabkan permintaan yang tinggi, kira-kira 3,000 daripada lebih 6,000 ahli yang berdaftar di bawah Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia yang mana perniagaan mereka hampir merudum sewaktu pandemik Covid-19, kini mampu bernafas semula.
“Perkembangan yang baik untuk negara apabila kita melancong ke luar negara, orang luar akan kenal Malaysia. Mereka akan datang ke negara kita sekali gus dapat melonjakkan sektor pelancongan,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan melancong ke luar negara kini menjadi lebih mudah apabila hampir semua perkara boleh dilakukan di hujung jari sahaja.

“Untuk menerokai tentang pelancongan, ia boleh dibuat melalui carian di dalam media sosial tanpa merujuk kepada agensi pelancongan seperti yang dilakukan kebanyakan orang sebelum ini.
“Pembelian tiket kapal terbang, tempahan hotel, makanan halal, lokasi menarik semua di hujung jari. Jika dahulu agak sukar sebab kita bergantung pada agensi pelancongan untuk menguruskannya.
“Walau bagaimanapun, pihak kami masih menggalakkan orang ramai untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong kerana mereka lebih arif.
“Risiko untuk berlakunya sesuatu yang tidak diingini rendah dan kita akan membawa pulang kenangan manis sahaja dari negara orang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia, Uzaidi Udanis pula memberitahu, pada tahun lalu, seramai 1.2 juta rakyat Malaysia melancong ke Thailand.
Angka itu membuktikan rakyat Malaysia diterima oleh negara luar.














