fbpx

Tak suka elemen negatif, Anuar Zain enggan jadi juri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR ZAIN

CYBERJAYA – Penyanyi terkenal, Anuar Zain teguh dengan pendirian enggan duduk di kerusi juri pertandingan nyanyian bagi mengelakkan elemen negatif dicetuskan pihak yang tidak boleh menerima komen.

Akui pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu, sejak 10 tahun lalu dia sudah menolak banyak tawaran selepas mengambil kira pelbagai faktor hingga membuatkannya lebih selesa menyanyi sahaja.

“Secara peribadi penjurian bukan bidang saya.Ini bagi pihak saya sendiri, jangan salah anggap pula. Terpulang pada orang lain untuk menerima tanggungjawab tersebut.

“Biarlah saya menyanyi dan buat persembahan sahaja. Saya rasa saya tak sesuai dan tak layak menilai orang lain walaupun acara hiburan itu berprestij.

“Penyokong yang terlalu sayangkan seseorang penyanyi, adakalanya beremosi sampai tidak dapat menerima komen juri, sedangkan pihak terbabit memberi teguran jujur demi kebaikkan peserta.

“Selalunya juri bagi ulasan untuk membantu artis itu membuat yang lebih baik, berkongsi tips persembahan, cuma kadang-kadang penonton tidak faham dengan kecam serta salahkan juri,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sesi latihan bersama Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) di Sekolah Seri Puteri (SSP), di sini bagi persediaan konsert amal Flourishes 23: Symphonic Gala Concert, semalam.

ANUAR bersama 91 pemuzik remaja berbakat SSP yang akan menjayakan konsert di Istana Budaya pada 20 Mei nanti.

Pelantun Sedetik Lebih itu juga kasihan melihat rakan selebriti dihentam teruk hanya disebabkan mereka melunaskan tanggungjawab sebagai juri yang turut membuatkannya terkejut melihat reaksi kasar mereka.

“Saya tak suka begitu. Banyak komen pelik yang hakikatnya lebih kepada merosakkan. Lebih baik saya jauhkan diri daripada berhadapan situasi sebegini.

“Setiap artis itu ada jiwa sensitif di dalam diri. Kadang-kadang orang suka kecam tanpa ada ilmu. Mereka komen secara kasar dan guna bahasa kesat. Kita pun terkejut macam mana mereka boleh keluarkan ayat begitu,” luahnya.

Penghibur kesayangan ramai ini memaklumkan hanya dua kali menjadi juri jemputan iaitu di Akadami Fantasia musim kedua (AF2) dan Malaysian Idol sepanjang hampir empat dekad dalam industri.

PENGLIBATAN Anuar dalam projek istimewa Sekolah Seri Puteri (SSP) diharapkan dapat menjayakan lagi misi mengumpul dana bagi penyertaan SSP ke pertandingan International Orchestra Festival & Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September depan.

“Ketika itu saya jemputan saja dan suasananya juga tak sama macam hari ini. Rasanya setakat itu pengalaman saya duduk di kerusi juri,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Anuar turut berbesar hati dapat bersama-sama 91 pemuzik remaja berbakat SSP membawakan tiga dendangan pada malam konsert di Istana Budaya pada 20 Mei nanti.

Konsert berkenaan juga bagi mengumpul dana untuk penyertaan SSP ke pertandingan International Orchestra Festival & Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September depan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI