fbpx

Mahkamah: Pembantu kedai didenda RM5,000 miliki gambar, video lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Fitri (dua dari kanan) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Taiping, Perak kerana memiliki gambar dan video lucah.

TAIPING – Padah memiliki gambar dan video lucah di dalam telefon bimbit, seorang pembantu kedai didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Muhammad Fitri Ishak, 26, juga berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan setelah tertuduh yang masih bujang itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur’ Atiqah Sapari.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes dipulangkan kepada pihak pendakwaan untuk dilucuthakkan dan dilupuskan setelah tamat tempoh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 67 gambar dan 55 video yang lucah dalam telefon bimbit jenama Realme model RMX2111 dan kesalahan dilakukan di sebuah bahagian di Hospital Taiping sekitar pukul 12.15 tengah hari pada 16 Februari 2022.

Pendakwaan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI