SELEPAS menunaikan solat zuhur tengah hari itu, Azroy Abdul Manaf, 38, turun ke kandang kambingnya yang terletak di Batu 9, Gombak, Selangor.
Tangannya pantas mencapai dua botol susu saiz sederhana yang diletakkan di satu sudut kandang kambing tersebut, lantas mula membancuh susu untuk menyusukannya kepada beberapa ekor kambing yang ada di situ.
Selesai menyusukan kambing-kambing, Azroy yang memiliki 100 ekor kambing bersedia memulakan sesi ‘live’ harian di akaun TikTok miliknya iaitu Kambing Yang Aneh untuk tatapan hampir 600,000 pengikutnya.
Begitulah rutin harian Azroy yang menjadi sensasi internet apabila keletah kambing-kambingnya yang lucu dan mencuit hati meraih perhatian netizen.
Anak kelahiran Lembah Keramat itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka video yang dimuat naik pada tahun 2019 bersama seekor kambing ‘aneh’ peliharaannya yang dinamakan sebagai Kamarudin memikat hati pengguna aplikasi TikTok.
“Sebenarnya pada asalnya, saya hanya memelihara dua ekor kambing bertujuan sekadar hobi, selain memuat naik video kambing-kambing saya secara suka-suka.
“Namun, tabiat aneh salah seekor kambing saya yang saya namakan sebagai Kamarudin hanya makan kuih-muih tempatan dan juga susu kotak jenama Marigold ternyata menjadikan akaun TikTok saya mula popular sehingga jumlah pengikut saya naik mendadak dalam sehari,” ujarnya kepada K2.

Tambah Azroy, selain personaliti unik, nama Kamarudin yang dipilih untuk kambingnya itu juga diberikan secara spontan dan tidak menyangka tindakan itu berjaya mempopularkan haiwan tersebut di media sosial.
“Ramai yang bertanya mengapa saya memilih nama manusia sebagai nama kambing.
“Sebenarnya, ia berlaku secara spontan dan saya juga tidak pernah merancang untuk menamakannya dengan nama sedemikian.
“Tak sangka, ia akhirnya melekat dan kambing-kambing seterusnya juga mempunyai nama masing-masing yang unik,” katanya.
Bertitik tolak dari situ, bilangan kambing Azroy kemudiannya semakin bertambah sehingga 100 ekor dengan kesemuanya diberikan nama-nama unik, sesuai dengan karakter masing-masing.
“Oleh kerana bilangan kambing pun sudah bertambah, maka ada antara nama-nama kambing ini diberikan oleh pengikut saya dan nama-nama tersebut adalah nama-nama manusia.
“Antaranya termasuklah Iqbal, Melur, Madam Liew, Khuzairi, Auliya, Eva dan juga Siti Nur Diana,” jelasnya.
Lebih menarik lagi, Azroy berkata, bukan hanya dia sahaja yang menghafal nama kambing-kambingnya itu, tetapi pengikutnya juga sudah boleh mengenal pasti setiap kambing milik Azroy.
Bercerita mengenai karakter Azroy berkata, Iqbal misalnya paling nakal, suka melompat dekat orang dan sukar mendengar cakap, manakala Eva hendak berkepit saja dengan Azroy.
Kambing biasanya merupakan haiwan yang agresif, namun kambing-kambing milik Azroy cukup jinak dan akan mendengar kata.

Malah, Azroy juga sempat menunjukkan kepada penulis bahawa kambingnya itu juga tahu nama masing-masing dan akan memberi respons tatkala nama dipanggil selain mengikut arahan Azroy.
Tidak hairanlah, akaun media sosial Kambing Yang Aneh kian dikenali, malah Azroy turut memberi komitmen sepenuhnya dengan bersiaran langsung sebanyak tiga kali sehari.
“Setiap hari, saya akan bersiaran langsung selama tiga kali sehari dan kandungan siaran ‘live’ itu adalah tentang kerenah kambing-kambing peliharaan ini.
“Malah, saya juga tidak menyangka kandungan dan komitmen saya itu sebenarnya menjadi terapi kepada pengikut saya yang menghidap penyakit mental seperti kemurungan dan keresahan,” kongsinya yang sering mendapat respons positif daripada pengikutnya yang meminta dia untuk terus memuat naik video lucu di akaun Kambing Yang Aneh.
Bekas pekerja bidang automotif itu berkata, sebelum ini, dia pernah berhenti seketika daripada membuat ‘live’ berkenaan kambing-kambingnya atas faktor peribadi.
Namun, pengikut akaunnya kemudian memujuk Azroy untuk terus bersiaran langsung setiap hari kerana cukup menyukai kandungan dipaparkannya.
Azroy mengakui berasa cukup terharu dengan sokongan diberikan oleh orang ramai terhadap kambingnya dan sebagai penghargaan serta tanda terima kasihnya, Azroy membuka kandang kambingnya itu untuk dikunjungi oleh orang ramai yang berminat untuk melihat haiwan tersebut secara dekat.
“Pada asalnya, kandang kambing milik saya ini hanyalah kandang kambing biasa, namun selepas mendapat permintaan daripada orang ramai yang mahu datang ke sini, maka saya usaha juga untuk mewujudkan satu ruang menunggu untuk pengunjung.
“Oleh itu, saya amat mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke sini,” katanya sambil menambah kandang itu menjadi tumpuan orang ramai, khususnya pada hujung minggu. Kandang Kambing Yang Aneh itu dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi sehingga 6.30 petang.
Mereka yang berminat mengunjungi kandang kambing tersebut boleh menghubungi Azroy menerusi nombor telefon yang dipaparkan pada akaun TikTok dan Facebook Kambing Yang Aneh.
Selain menjual kambing kepada penternak dan juga akikah, Azroy turut menjual cenderahati seperti kemeja-T dan juga rantai kunci yang boleh dibeli orang ramai.
Ujar Azroy, penjualan cenderahati itu juga bukanlah kerana dia mahu menjana pendapatan sampingan menerusi kambing-kambingnya tetapi lebih kepada penghargaan buat mereka yang sentiasa menyokong akaunnya itu.














