fbpx

Jenazah legenda sepak takraw selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faizal menyiram air mawar pada kubur bapanya, Adnan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Haji Sham, Kampung Padang di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Jenazah legenda sepak takraw tanah air, Adnan Saidin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Haji Sham, Kampung Padang, di sini kira-kira pukul 2.25 petang tadi.

Jenazah bapa kepada enam anak itu disemadikan di sebelah kubur abangnya, Ismail Saidin yang meninggal dunia pada November tahun lalu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Adnan disembahyangkan oleh ratusan jemaah di Surau Al-Rahmaniah yang terletak berhampiran tanah perkuburan tersebut.

Sementara itu, gandingan arwah dalam regu kebangsaan, Mohd. Zahir Awang, 60, menyifatkan pemergian rakannya itu sebagai satu kehilangan besar buat negara.

“Kami sama-sama menyarung jersi negara dalam sukan SEA dari 1983 hingga 1989. Banyak kenangan manis bersama dengan kami pada masa itu bermain secara ‘double killer’ iaitu beliau sebagai apit kiri, manakala saya pula apit kanan.

“Waktu itu boleh dikatakan sebagai zaman gemilang sepak takraw negara dan pemergiannya ini merupakan satu kehilangan besar buat semua. Boleh dikatakan, Adnan boleh disifatkan sebagai seorang pemain yang memiliki motivasi dan berkebolehan tinggi selain memiliki libasan luar biasa,” katanya di sini hari ini.

Adnan yang bergelar Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Menurut anaknya, Mohd. Faizal Adnan, 38, kematian arwah bapanya dipercayai akibat pendarahan dalam kepala setelah terdapat beberapa komplikasi melibatkan organ dalamannya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain negara, Che Azman Ismail, 62, yang pernah bertindak sebagai tekong kepada Mohd. Zahir dan Adnan mahu para pemain kebangsaan mencontohi sikap serta kesungguhan Adnan semasa beraksi mewakili negara.

“Apabila Adnan turun beraksi, beliau tak mudah mengaku kalah dan akan main betul-betul. Adnan sentiasa berusaha dan belajar dari kesilapan dalam perlawanan dilalui bagi meningkatkan prestasinya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI