fbpx

Angkasa tawar pakej umrah 20 peratus lebih murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon (tengah) dan Abdul Fatah (berdiri kiri) beramah mesra dengan orang ramai di Wisma Ungku A. Aziz di Kelana Jaya hari ini. - Foto oleh SHIDDIEIQIN ZON / KOSMO!

PETALING JAYA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini menawarkan pakej menunaikan umrah pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran menerusi program Coop Umrah.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pakej itu malah menyediakan pembayaran secara ansuran kepada orang ramai termasuk potongan gaji Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) untuk penjawat awam.

“Pada tahun ini kita akan memperkasakan Coop Umrah. Kita tahu isu orang Malaysia untuk menunaikan umrah bermacam-macam masalah dan Angkasa ambil langkah untuk pastikan tujuh juta ahli koperasi dan orang ramai yang mahu menunaikan umrah terjamin.

“Angkasa anjurkan program ini melalui kerjasama strategik dengan pengendali umrah sedia ada serta koperasi di Arab Saudi. Pakej sedang kita promosi dan penerbangan umrah pertama pada 19 Julai 2023,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Ulang Tahun Angkasa Ke-52 di Wisma Ungku A. Aziz di Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Majlis dihadiri kira-kira 2,000 tetamu itu disertai Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Menteri, Senator K. Saraswathy.

Mengulas lanjut harga pakej umrah 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran, Abdul Fattah berkata, antara prinsip dan strategi Coop Umrah dalam penetapan harga adalah kompetitif.

“Prinsip kita harga ditawar mesti sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah daripada harga industri. Sesuai dengan konsep kerajaan, konsep Rahmah. Itu pun tujuan kita ambil inisiatif ini.

“Kita uruskan ‘pembelian pukal’. Ramai terlibat. Ini kekuatan kita ada. Kuasa tawar menawar dan juga untuk bincang dengan pengendali umrah. Kita pilih (kerjasama) yang murah, tetapi terbaik.

“Kita tidak mahu isu seperti sampai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak boleh terbang. Angkasa akan pantau dari A sampai Z. Dari penerbangan pergi hingga penerbangan pulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI