LANGKAWI – Trip perjalanan feri yang terhad dan dicatu mampu merencatkan kemasukan pelancong ke pulau peranginan ini terutama pada musim cuti persekolahan.
Pengerusi Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi, Raseli Yahya berkata, operator feri perlu membuat pertimbangan sewajarnya dengan meningkatkan jumlah trip serta menyusun jadual secara lebih sistematik bagi memenuhi permintaan pelancong.
“Ramai pengunjung yang menaiki feri ke Langkawi membuat tempahan pada saat akhir atau secara walk-in kerana sudah terbiasa dengan jadual perjalanan feri yang banyak sebelum ini.
“Apabila penumpang melihat jadual feri yang terhad, kebanyakan mereka akan membuat keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke Langkawi,” katanya.
Menurut Raseli, kemasukan pelancong ke Langkawi juga dipengaruhi oleh perjalanan feri dan statistik kemasukan pelancong pada tahun ini mungkin akan terjejas akibat catuan itu.
Jelasnya, jadual penerbangan sudah hampir mencecah had maksimum yang boleh dikendalikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
“Hanya jadual feri yang boleh ditambah ketika ini kerana sebelum ini perjalanan feri adalah sejam sekali berbanding hanya tiga hingga lima perjalanan sehari bagi setiap hala,” ujarnya.
Raseli turut mengingatkan pengunjung yang ingin melancong ke Langkawi untuk menempah tiket feri lebih awal sebelum membuat tempahan penginapan dan produk pelancongan.
Tambahnya, pengunjung juga boleh menggunakan feri Roll On Roll Off melalui Dermaga Tanjung Lembong sebagai alternatif untuk masuk ke Langkawi.
Sementara itu, Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, pihaknya terpaksa berhati-hati untuk menambah perjalanan feri bagi mengelakkan kerugian besar daripada segi pembelian minyak diesel.
Kelmarin Kosmo! melaporkan kira-kira 100,000 pelancong dijangka menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke Pulau Langkawi sempena cuti persekolahan dan Hari Raya Aidiladha ini.















