fbpx

PDRM sedia laporan lengkap kepada SPRM – Acryl Sani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACRYL SANI (tengah) memakaikan pangkat kepada Ketua Polis Pahang Baharu, Datuk Yahya Othman (kanan) sambil disaksikan bekas Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) pada majlis serah terima tugas di IPK Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menyiapkan laporan lengkap berkaitan dengan isu dakwaan kelewatan pihaknya menghantar laporan ke atas 125 anggotanya yang terlibat dalam salah laku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya juga akan memaklumkan kepada SPRM mengenai tindakan yang sepatutnya diambil oleh jabatan terhadap 125 anggota terbabit.

Tegasnya, pihak PDRM tidak pernah berkompromi dan tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan dengan tindakan tatatertib yang perlu diambil kepada mana-mana pegawai dan anggota yang dipercayai melakukan kesalahan tatatertib.

“Apa yang berlaku kita akan sentiasa memberikan kerjasama bukan sahaja kepada SPRM tetapi juga kepada SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan kepada mereka tentang tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil jika kita dimaklumkan perkara tersebut.

“Saya telah pun menyediakan laporan lengkap tentang perkara ini dan akan meneliti laporan-laporan yang masih belum dilaporkan kepada SPRM tentang apa tindakan-tindakan yang akan diambil kepada pegawai kita,”katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan akhbar mendedahkan bahawa beberapa agensi kerajaan mengabaikan 553 laporan salah laku kakitangan mereka walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan.

Azam berkata, daripada 553 laporan itu 125 daripadanya membabitkan anggota PDRM.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI