fbpx

Lelaki curi beg di Masjid Muhammadi dicekup lepas samun warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki yang diburu polis selepas dipercayai mencuri beg di Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada 26 April lalu.

KOTA BHARU – Selepas dua minggu diburu, seorang lelaki yang dipercayai mencuri beg silang milik seorang jemaah semasa sedang menunaikan solat zuhur di Masjid Muhammadi di sini pada 26 April lalu akhirnya ditahan di Kampung Sungai Keladi di sini semalam.

Suspek yang berusia 39 tahun itu dicekup kira-kira pukul 3 petang selepas menyamun seorang pesara kerajaan yang sedang memancing di Sungai Budor, Kampung Sungai Keladi di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, warga emas yang berusia 68 tahun itu memancing seorang diri di sungai berkenaan kira-kira pukul 11.40 pagi.

Menurutnya, suspek secara tiba-tiba menghampiri mangsa dan menekan kepala warga emas itu sehingga menyebabkan dia terjatuh dalam keadaan tertiarap.

“Lelaki itu kemudiannya bertindak mengambil barangan milik mangsa sebelum melarikan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki warga emas itu.

“Selepas sejam menerima laporan daripada mangsa, sepasukan anggota Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akhirnya berjaya menahan suspek ketika bersembunyi di kawasan semak bersama kereta mangsa di Kampung Sungai Keladi kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, lelaki itu merupakan suspek yang dikehendaki polis kerana mencuri beg seorang jemaah lelaki yang sedang menunai solat di Masjid Muhammadi di sini pada 26 April lalu.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI