fbpx

Air surut, nelayan terkandas lima jam di tengah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAN HONG (dua dari kiri) meninjau keadaan sampan nelayan yang terkandas apabila air bertukar surut. - Foto AMRAN MULUP

MELAKA – Kerja-kerja mengorek pasir perlu dilaksanakan secara berkala bagi mengatasi masalah muara cetek di Jeti Nelayan Klebang Besar dan Jeti Nelayan Lereh, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, mendapan pasir di sungai menyebabkan nelayan yang keluar menangkap ikan menghadapi masalah untuk pulang ke jeti apabila air bertukar surut.

Menurutnya, beliau menerima banyak rungutan daripada nelayan yang mendakwa terpaksa menunggu hampir lima jam di tengah laut sebelum dapat pulang setelah air pasang.

“Muara sungai mengalami mendapan kesan daripada kerja-kerja penambakan laut di sekitar Klebang hingga ke Limbongan.

“Setelah berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), perkara ini akan dibawa pada mesyuarat penyelarasan tidak lama lagi,”katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Jeti Nelayan Klebang Besar di sini, hari ini.

Tambahnya, agensi berkaitan juga diminta untuk mengemukakan satu peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan serta kementerian berkaitan kerja-kerja mengorek mendapan pasir dapat dilakukan di kedua-dua jeti berkenaan.

Dalam pada itu Ban Hong memberitahu, jeti tersebut sedang dinaik taraf melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM75,000 dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu.

“Kerja-kerja ini membabitkan pemanjangan ramp iaitu laluan untuk bot naik dan turun daripada 8 meter kepada 12 meter.

“Kita juga menggantikan tiang pancang galvanized iron (GI) sedia ada kepada jenis GI yang disarung paip HDPE 75 milimeter keseluruhan berjumlah 90 batang serta disusun semula,” katanya.

Jelasnya, kerja-kerja tersebut perlu dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan bagi menampung pemindahan seramai 19 nelayan dari Jeti Nelayan Limbungan dan Jeti Nelayan Kota Laksamana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI