fbpx

Remaja lelaki maut, kemalangan tujuh buah motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 259.9 Lebuh Raya Utara-Selatan menuju arah Utara, Seremban, awal pagi tadi.

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tujuh buah motosikal di Kilometer (KM) 259.9 Lebuh Raya Utara-Selatan menuju arah Utara, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi itu, mangsa, Ahmad Sheikhrul Razi Ab Kadir, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut Nanda, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal pelbagai jenis dan seorang wanita dari arah Senawang menuju ke arah Ampang, Selangor.

“Setibanya di lokasi kejadian sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang mangsa berusia 19 tahun di lorong tengah lebuh raya disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas jalan raya.

“Ini menyebabkan enam buah lagi motosikal lain cuba mengelak namun telah terlanggar sesama sendiri.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di lokasi kejadian manakala mangsa dua lelaki masing-masing berusia 21 tahun dan 18 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Nanda, empat yang lain mengalami kecederaan luka-luka ringan di tangan dan kaki dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI