fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, di sini, hari ini. -Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyerang dan menghalang seorang pegawai polis, bulan lalu.

Tertuduh, Nguyen Thi Cam Nhung, 28, bagaimanapun hanya mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua, namun Majistret Nabilah Nizam menolak pengakuan tersebut susulan kenyataan dibuat tidak konsisten.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Inspektor Mohd. Shahrol Firdaus Senawi dengan menggunakan sebilah gunting.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat telah menghalang tugas rasmi seorang penjawat awam.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9.30 malam di Silverscape Resident, Element Mall, Jalan Syed Abdul Aziz dalam daerah Melaka Tengah pada 16 April 2023.

Difahamkan wanita tersebut bertindak mengacukan gunting selepas pegawai polis berkenaan cuba meleraikan pergaduhan antara tertuduh dengan teman lelakinya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warganegara.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali dalam setiap minggu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh tidak bekerja dan mempunyai seorang anak orang kelainan upaya (autism) berusia tiga tahun.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin warganegara.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 13 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta menyediakan jurubahasa Vietnam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN