PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka bakal mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras tiga peratus sehingga hujung tahun 2023 selepas Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) mengambil keputusan mengejutkan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi, Penyelidikan Perbendaharaan OCBC Bank, Selena Ling berkata, justifikasi kenaikan itu datang daripada penilaian BNM berhubung ‘pengembangan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi pada suku pertama 2023 selepas prestasi kukuh pada 2022’ didorong terutamanya oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
“Dengan keputusan ini, BNM mengisytiharkan bahawa ia telah ‘menarik balik rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis Covid-19 dalam menggalakkan pemulihan ekonomi’.
“Pada masa sama, BNM tidak menutup pintu untuk mengetatkan lagi dasar monetari dengan memetik ‘keperluan untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah sesuai untuk mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan masa depan.’

“Memandang ke hadapan, kami menjangkakan BNM akan mengekalkan paras OPR semasa untuk baki tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Pandangan tersebut turut dikongsi oleh firma penyelidikan, MIDF Research yang melihat kenaikan OPR sebagai tanda bahawa prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku tahun pertama 2023 adalah lebih baik berbanding jangkaan.
Katanya, BNM meramalkan perkembangan positif yang akan membawa kepada pengembangan stabil pada suku pertama tahun ini dan perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik serta pertumbuhan pendapatan yang stabil.
“BNM juga menekankan prospek pelaburan yang akan disokong oleh realisasi projek infrastruktur jangka panjang serta peningkatan aktiviti berkaitan pelancongan.
“Kami percaya tumpuan semasa penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
“Dengan OPR dipulihkan ke tahap pra-pandemik, kami percaya BNM akan beralih kepada pendekatan tunggu dan lihat terutamanya dalam memantau perkembangan bank-bank pusat utama,” katanya.
Mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak tiga kali lagi untuk tahun 2023 iaitu pada Julai, September dan November depan.
















