fbpx

Mahkamah: Majikan wanita didakwa cederakan amah dengan seterika, air panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chee Hui dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto oleh Sadam Yusof.

KUALA LUMPUR – Seorang kerani wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia menggunakan seterika dan air panas di sebuah rumah, Mac lalu.

Bagaimanapun Loke Chee Hui, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan cedera terhadap pembantu rumahnya berusia 39 tahun dengan menggunakan seterika dan air panas di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, Taman OUG, di sini, antara 3 Mac 2022 hingga 23 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana Seksyen 324 merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Varghese Onny memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat orang anak berusia dua hingga 15 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Chee Hui dan suaminya Lum Kah Wai, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan eksploitasi pengabdian terhadap mangsa sama, pada tarikh dan tempat serupa.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan Chee Hui dan Kah Wai diikat jamin masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke balai polis setiap dua bulan sekali.

Tarikh 6 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Semalam Kosmo! Online melaporkan seorang pembantu rumah bukan sahaja lebam di mata dan muka, malah melecur hampir seluruh badan akibat didera oleh majikannya, di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, Brickfields, di sini.

Bukan itu sahaja, wanita warga asing berusia 39 tahun itu juga mengaku sering dipukul, ditampar dan pernah dicederakan oleh majikannya di bahagian tangan dengan menggunakan seterika sebelum ini.

Sehubungan itu, sepasang suami isteri merupakan majikan pembantu rumah itu ditahan pada hari yang sama.

Tambah Amihizam, mangsa sudah bekerja sebagai pembantu rumah di lokasi kejadian selama lebih setahun dan sering dipukul serta dicederakan oleh majikannya.

Ujarnya, barang kes iaitu objek keras yang dipercayai digunakan oleh suspek mencederakan mangsa turut dirampas bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI