TELUK INTAN – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan panel penasihat khas bagi menangani isu dan masalah perumahan rakyat di negara ini.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata panel penasihat itu dianggotai 28 ahli yang pakar dalam bidang berkaitan dan diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman.
“Kami sentiasa bersikap tawaduk dan rendah hati dan sudi belajar daripada pakar-pakar termasuk dalam dan luar negara.
“Kita sudi belajar daripada mana- mana pihak, mana idea yang bagus kita akan laksanakan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Pasar Besar Teluk Intan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan pengumumannya sebelum ini berhubung keputusan kerajaan membawa masuk pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi berkongsi kepakaran dalam sektor pembinaan perumahan di Malaysia.
Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, pakar HDB telah datang ke negara ini pada 29 Mac lalu untuk berkongsi pendapat mereka mengenai isu perumahan awam.
Selain Singapura, jelasnya, Malaysia juga ada mendapatkan pandangan daripada Korea Selatan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan negara tersebut pada 2019.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Duta Besar Republik Korea di Malaysia, Yeo Seung Bae, juga mengunjunginya minggu lalu untuk membincangkan perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE














