fbpx

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia bakal himpun 10,000 ahli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi (tiga dari kanan) ketika mengadakan taklimat media di Menara Dato' Onn, hari ini.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dijadual pada 14 Mei ini menjadi medan penting dalam memastikan kesefahaman dan komitmen semua parti gabungan untuk mengutamakan agenda rakyat berbanding parti politik.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen tersebut dijangka menghimpunkan lebih 10,000 ahli parti akan menterjemahkan keserasian bukan sahaja di peringkat tertinggi, tetapi termasuk akar umbi.

“Konvensyen julung kali sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan enam bulan lalu akan disertai oleh 19 parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia ini lahir atas hasrat untuk kita memulakan satu hubungan erat yang lebih kukuh dan ampuh. Bermula di peringkat nasional dan akan mula turun ke negeri-negeri sehingga ke peringkat Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Biasalah sedangkan lidah lagi tergigit, kita tak boleh mengharapkan bahawa kerjasama yang terbentuk ini tidak ada salah faham atau perbezaan pandangan. Itu biasa tetapi kita lihat sepanjang enam bulan membentuk kerajaan ini, ia berbeza dengan pengalaman Pakatan Harapan (PH) meneraju selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya ketika sidang dan taklimat media berkenaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia, di Menara Dato Onn, hari ini.

Konvensyen yang bertemakan ‘Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia’, Asyraf Wajdi berkata, program berskala besar itu akan menjadi titik tolak ke arah kerajaan yang lebih utuh, dengan matlamat yang jelas memastikan kestabilan politik terus dipertahankan.

“Konvensyen ini juga menjadi keutamaan kepada setiap parti gabungan untuk menyatakan tekad dan keazaman secara bersama dalam memastikan agenda yang dilaksanakan kerajaan didokong oleh semua.

“Kita tidak mahu peristiwa-peristiwa lampau (berulang), cukuplah empat setengah tahun kita tidak berdepan dengan kestabilan dan memberi kesan yang pedih kepada rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI