PETALING JAYA – Persatuan Bunkering Malaysia (MBA) telah bekerjasama dengan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) bertujuan untuk melonjakkan industri maritim domestik ke peringkat pertumbuhan seterusnya.
Kerjasama eksklusif selama tiga tahun itu akan menggalakkan pekerjaan kapal tempatan dan menyediakan lebih banyak peluang untuk peserta Malaysia dalam aktiviti bunkering dan perdagangan.
Satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai susulan daripada kerjasama tersebut sebagai usaha untuk membendung pengaliran keluar dana dengan mengutamakan peserta bunkering tempatan.
Ia juga akan menangani aktiviti haram dalam bidang bunkering dan perkapalan.
Di bawah MoU tersebut, para penandatangan akan berkongsi maklumat tentang ahli berdaftar mereka atas permintaan serta berkongsi berita atau peraturan terkini berkaitan marin Malaysia dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa.
Di samping itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam mengelakkan sebarang pertindihan dalam usaha mereka untuk menambah baik industri perkapalan dan maritim.
Mengulas mengenai pemeteraian MoU tersebut, Pengerusi MBA, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kerjasama ini adalah perlu bagi memastikan pemilik kapal tempatan adalah penerima utama permintaan masa depan yang teguh.
“Dengan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti perdagangan dalam negara, landskap bunkering Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan teguh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena pemeteraian MoU di antara dua pihak yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini.
Sementara itu, Pengerusi MASA, Mohamed Safwan Othman menjelaskan, pihaknya melihat usaha sama tersebut akan membolehkan kedua-dua pihak membangunkan peluang perniagaan yang boleh dilaksanakan untuk peserta tempatan.
“Ini penting dalam mengukuhkan lagi suasana maritim tempatan, terutamanya perkhidmatan bunker dan perkapalan.
“Sebagai sebuah badan industri yang telah wujud selama lebih empat dekad, MASA boleh menyumbang dengan ketara dengan memberi nasihat tentang amalan terbaik industri.
“Kami berharap melalui kerjasama ini, cabaran dan risiko yang dihadapi oleh pemilik kapal Malaysia dapat dikurangkan untuk pertumbuhan yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE














