fbpx

Elak menjadi mangsa strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STROK haba merupakan sejenis penyakit disebabkan kepanasan melampau. – Gambar hiasan

Baru-baru ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran gelombang panas dengan suhu dijangka meningkat sehingga 35 hingga 37 darjah Celsius.

Fenomena tersebut dipercayai berlaku disebabkan peralihan Monsun Timur Laut yang dialami negara sehingga Ogos nanti.

Cuaca panas berterusan itu mendedahkan risiko kepada orang ramai untuk diserang strok haba yang boleh membawa maut, terutama kanak-kanak, warga emas serta golongan berpenyakit.

Strok haba adalah sejenis penyakit disebabkan kepanasan melampau yang didahului oleh kejang haba (heat cramp) dan diikuti dengan kelesuan haba.

Antara simptom bagi strok haba adalah suhu badan meningkat hingga 39 darjah Celcius, jantung berdenyut laju, pening atau sakit kepala dan keletihan melampau.

Bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin, Horizon sediakan tip bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada terkesan dengan strok haba.

 

Pastikan badan kekal terhidrat
Minum banyak cecair supaya badan boleh berpeluh untuk mengekalkan suhu badan yang normal.

Selain air mineral dan air kosong, cecair boleh diperoleh daripada pelbagai sumber seperti buah-buahan atau makanan lain.

Antara buah-buahan yang mengandungi banyak air adalah tembikai, betik dan tembikai susu, manakala sayur-sayuran pula adalah seperti tomato, timun dan sawi.

Bagi masakan pula, boleh nikmati secara kerap hidangan seperti sup, singgang, tumis air dan masak pindang untuk meningkatkan pengambilan air dalam badan.

Kurangkan pengambilan cecair yang menggalakkan perkumpulan air kencing seperti minuman berkafein, kopi, teh dan air berkarbonat ketika cuaca panas.

Jangan duduk lama di dalam kereta
Di dalam kereta yang terdedah kepada cuaca panas, aliran udara tersekat sehingga menyukarkan badan untuk menyeimbangkan suhu.

Oleh itu, pastikan jangan tinggalkan sesiapa dalam kereta termasuk anak kecil dan haiwan walaupun buat seketika.

Pengguna kenderaan juga dinasihatkan untuk tidak ‘lepak’ dalam kereta ketika cuaca panas biarpun tingkap atau pendingin hawa dibuka.

Guna pelindung matahari
Sapukan krim pelindung matahari dengan kadar SPF 15 atau lebih apabila berada di luar rumah.

Jangan lupa ulang pemakaian krim pelindung matahari dengan lebih kerap seperti setiap dua jam untuk mengelakkan selaran matahari (sunburn).

Selaran matahari menjejaskan keupayaan badan untuk menyejukkan diri, sekali gus meningkatkan risiko suhu badan naik.

Pilih pakaian terang

Kajian Institut Kebangsaan Pengajian Alam Sekitar pada 2014 di Jepun mendapati pakaian berwarna gelap mampu meningkatkan suhu badan.

Ini kerana, warna gelap menyerap gelombang cahaya dan haba matahari, manakala warna cerah memantulkan semula cahaya.

Warna cerah yang paling sesuai dipakai untuk mengekalkan suhu badan adalah putih, kelabu dan kuning.

Elakkan aktiviti berat pada waktu panas
Rancang aktiviti fizikal seperti bersenam dan beriadah ketika suhu rendah seperti pada waktu pagi atau petang.

Jika tidak dapat elak daripada melakukan demikian, perbanyakkan minum cecair agar badan kekal terhidrat.

Jangan lakukan aktiviti fizikal yang berat di tengah panas dalam jangka masa panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI