fbpx

Mahkamah: Siti Bainun dijel 12 tahun abai dan aniaya Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down Bella dua tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama Siti Bainun dipenjara selama 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara selama 12 tahun dan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan hari ini.

Terdahulu, ketika membacakan keputusan itu Hakim Izralizam mengemukakan lapan alasan tertuduh bersalah dan antaranya keterangan mangsa tercedera akibat air panas adalah keterangan “hear say” (dengar cakap).

“Dalam insiden terkena air panas, tertuduh mengakui tidak pernah nampak kejadian itu dan hanya ‘hear say’ (dengar cakap) seperti yang dikatakan saksi pendakwaan kelima sedangkan pakar perubatan merumuskan Bella mempunyai banyak kecederaan lain pada tubuhnya selain terkena air panas.

“Mahkamah berpuas hati dengan hujah pendakwaan yang menyatakan mangsa dianiaya dan diabai di bawah penjagaan tertuduh,” kata Hakim Izralizam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias manakala Siti Bainun diwakili peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kesnya apabila peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah pihaknya menutup kes selepas saksi pembelaan kelapan selesai memberi keterangan.

Hakim Izralizam kemudian memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 7 April manakala 14 April bagi hujahan balas sebelum memutuskan esok bagi keputusan sama Siti Bainun akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah membela diri atas dua pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan yang mana pihak pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke- 22 selesai memberi keterangan.

Untuk rekod perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu (2022) dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain itu ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI