fbpx

Bekas mekanik mengaku salah memandu gopoh, tiada lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang bekas mekanik diberi amaran oleh ahli keluarganya untuk tidak mengulangi kesalahan setelah membayar denda di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini. FOTO/ MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON – Seorang bekas mekanik didenda RM1,900 di Mahkamah Majistret Port Dickson, di sini bagi dua kesalahan membabitkan memandu gopoh serta tiada lesen dalam kejadian yang tular di Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH), di sini hujung bulan lalu.

Tertuduh, M Ilavarasan, 23, mengaku salah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Vanita Vasudevan dan ahli keluarga tertuduh membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 28 April lalu kira-kira pukul 7.20 pagi di SPDH telah memandu dengan gopoh menggunakan kenderaan Toyota Vios hingga membahayakan nyawa manusia.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama iaitu Kilometer 20.9 SPDH telah memandu kenderaan tanpa lesen.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau dipenjara tak lebih dari tiga bulan.

Bagi pertuduhan pertama, Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,500 dan empat bulan penjara jika gagal bayar, manakala bagi pertuduhan kedua, Majistret menjatuhkan hukuman denda RM400 dan tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis memohon pemilik akaun Facebook, pemandu dan penumpang kedua-dua buah kenderaan yang terlibat dengan kejadian tersebut termasuk saksi yang melihat kejadian supaya hadir ke Balai Polis Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI