fbpx

Pengasuh menangis ketika dituduh abai kanak-kanak sehingga cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR HUZAIMAH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap kanak kanak 3 tahun, bulan lalu. - Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh menangis teresak-esak apabila dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak asuhan berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Taman Pelangi Indah, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Nor Huzaimah Herman, 31, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, suri rumah itu mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak berusia tiga tahun telah mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak tersebut.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 11.30 pagi di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah, Taman Pelangi Indah pada 21 Mac lalu.

Bagi perbuatan tersebut, wanita itu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Suri rumah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari dan Nurhayati Muhammad Fathullah manakala tertuduh diwakili peguam, R.sangaran dan Allan Lim.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan satu jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM15,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.

Sangaran yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan yang minima dengan alasan wanita itu mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah manakala suaminya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain meletakkan syarat tertuduh melapor diri di Balai Polis Pelangi Indah sekali setiap bulan.

Sebutan semula ditetapkan pada 3 Julai ini bagi tujuan penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Semalam, tular satu hantaran di Facebook dimuat naik pemilik akaun Nor Huzaimah Herman Emma yang dipercayai adalah tertuduh memohon bantuan warganet mengumpulkan dana bagi membayar ikat jamin di mahkamah.

Wanita itu turut menceritakan kisahnya menjaga dua beradik yang juga anak kepada seorang wanita berasal dari Sabah, sejak November lalu, yang dianggap seperti anak sendiri.

Seorang daripada anak asuhannya itu iaitu mangsa dalam kes berkenaan didakwa cedera dihempap basikal pada 21 Mac dan kemudian dilaporkan meninggal dunia, seminggu kemudian.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI