KUALA LUMPUR – Sedih dan hiba. Itulah yang terukir pada wajah Aliff, 33, (bukan nama sebenar) apabila terpaksa memberikan alasan perlu bekerja semasa Hari Raya Aidilfitri kepada anak kecilnya.
Anak perempuan yang berusia tiga tahun itu juga tidak berhenti bertanyakan keberadaan ayahnya yang tidak kelihatan di rumah sehinggakan jatuh sakit kerana terlalu rindu.
Aliff yang telah menghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi di sini selama 10 bulan mengakui ia merupakan saat yang paling mencabar apabila sering terbayangkan wajah anak gadis kesayangannya itu.
Bagaimanapun, dia yang berasal dari Melaka, terus kuat dan gagah untuk menjadi insan yang lebih baik setelah dua kali gagal menghabiskan rawatan pemulihan di Rumah Pengasih pada tahun 2021 dan 2022.
Berceritakan kepada Kosmo!, Aliff berkata, dia mula terjebak dengan najis dadah sejak di bangku sekolah bersama rakan-rakan sebaya kerana sifat ingin tahu.
Jelas jurupenyelenggaraan ini, setelah mendirikan rumah tangga pada tahun 2018, isterinya yang baru sahaja mengetahui tentang salah lakunya itu berasa terkejut, namun masih menerima dirinya seadanya.
“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, saya mula ambil dadah dengan kadar yang banyak. Duit simpanan habis, sampai sanggup jual barang-barang di rumah untuk beli dadah.
“Tanggungjawab kepada keluarga pun saya abaikan sehinggalah Julai tahun lalu, ayah saya hubungi talian ‘outreach’ sebab mahu saya pulih. Pagi itu, penguat kuasa terus datang dan ambil saya.
“Mula-mula susah. Saya tidak rela masuk sini sebab sudah dua kali lari dari Rumah Pengasih sebelum ini, tetapi makin lama bersikap semakin terbuka kerana diisi dengan pelbagai ilmu,” katanya ketika ditemui di Puspen Sungai Besi, di sini.
Luahnya, ini adalah kali pertama dia beraya berjauhan dengan keluarga dan mengakui masakan ibu dan suasana di kampung yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan paling dirindui.
Turut berkongsi perasaan yang sama, seorang lagi pelatih Puspen, Nizam, 29, (bukan nama sebenar) mengakui sangat merindui masakan nasi kandar air tangan isterinya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, suasana hiba menyelubungi dirinya sekeluarga ketika beraya tahun lalu kerana hanya sempat meluangkan masa bersama keluarga beberapa minggu sebelum menghuni Puspen secara sukarela.














