CUACA terik pada petang itu tidak sedikit pun menghalang beberapa individu untuk beratur bagi mendapatkan lemang daun lerek yang dijual di sebatang jalan.
Di sudut tengah gerai, kelihatan seorang lelaki sedang tekun membasuh sehelai demi sehelai daun lerek yang ada di hadapannya untuk dijadikan alas kepada buluh lemang.
Di satu sudut lain pula, seorang lagi pekerja kelihatan sedang mengupas beberapa biji buah kelapa yang ada di hadapannya sebelum isinya dikisar untuk dijadikan santan.
Suasana tersebut boleh dilihat pada setiap hari di gerai Lemang Daun Lerek Greenwood, Gombak, Selangor itu sejak lima tahun lalu.
Gerai tersebut mula menjual lemang setiap hari tanpa mengira musim.
Kunjungan penulis ke premis tersebut baru-baru ini disambut mesra oleh pemilik gerai, Mohd. Arifin Zakaria.
Dia kemudiannya membuka cerita tentang perniagaan yang diusahakannya sejak lebih 31 tahun lalu.
Kongsi lelaki berusia 64 itu, dia sama sekali tidak menyangka akan bergelar seorang usahawan lemang.

di Jelebu.
Ujar Mohd. Arifin, dia pada mulanya hanya membakar lemang di halaman bengkel besinya untuk dimakan bersama ahli keluarga terdekat.
“Memandangkan lokasi bengkel besi saya terletak betul-betul di tepi sebatang jalan, maka ramai orang yang lalu di kawasan ini berhenti dan bertanyakan tentang lemang yang sedang dibakar.
“Disebabkan terlalu ramai berminat untuk membeli lemang yang dihasilkan, maka saya pun menjualnya.
“Bagaimanapun, selepas dijual kepada orang ramai, kami pula yang tiada lemang untuk dimakan.
“Bertitik tolak daripada itu, saya mengambil keputusan untuk berniaga lemang secara serius,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Sama seperti perniagaan lain, jualan lemangnya bermula perlahan sebelum dia akhirnya memindahkan gerainya ke lokasi yang lebih besar selepas mendapat permintaan tinggi.
Menariknya, kerjaya sebagai tukang besi sebelum ini membantu memudahkan Mohd. Arifin menghasilkan sendiri perkakas membuat lemang yang digunakan di gerainya.
Tambah Mohd. Arifin, pemilihan daun lerek sebagai pengganti daun pisang tidak mempunyai sebab-sebab tertentu.

Jelasnya, kedua-dua jenis daun tersebut menghasilkan rasa lemang yang sama.
“Secara peribadinya, saya menganggap helaian daun ini hanyalah sebagai alas kepada buluh lemang.
“Begitupun, keunikan daun lerek terletak pada teksturnya yang sedikit kasar dan tebal.
“Ini menjadikan daun lerek tidak mudah koyak apabila diberus dan dibersihkan,” katanya.
Selain itu, batang pada hujung daun lerek berfungsi sebagai ‘pemegang’ bagi memudahkan isi lemang ditarik keluar tanpa perlu membelah batang buluh.
Jelas Mohd. Arifin, daun lerek yang digunakan sebagai alas bagi lemang-lemangnya diambil dari beberapa lokasi.
Dia berkata, kebanyakan daun lerek yang dibekalkan kepadanya adalah dari perkampungan Orang Asli yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan.
“Saya banyak mengambil bekalan daun lerek daripada Orang Asli di sekitar Jelebu.
“Ini kerana mereka bersedia mencari bekalan daun lerek mengikut permintaan saya,” katanya.
Daun-daun tersebut kemudiannya akan dicuci dengan menggunakan berus sabut bagi menghilangkan debu dan kotoran lain yang melekat padanya.
Selepas daun dan buluh lemang dibersihkan, anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu berkata, dia akan memasukkan beras pulut yang sudah direndam semalaman ke dalam buluh sebelum membakarnya.
“Tujuan merendam beras pulut ini adalah bagi memastikan lemang yang dimasak itu nanti mempunyai tekstur lembut dan rasa berlemak,” ujarnya.
Katanya, proses pembuatan lemang lazimnya mengambil masa sekitar tiga jam.

Sementara itu, Mohd. Arifin memaklumkan pada waktu puncak iaitu sambutan Aidilfitri, sebanyak 800 batang lemang dibakar di gerainya pada setiap hari.
Berkongsi rahsia keenakan lemangnya, Mohd. Arifin berkata, dia amat mementingkan penjagaan kebersihan bagi setiap menu yang dihasilkan.
“Sebagai seorang peniaga makanan, saya meletakkan kebersihan sebagai perkara nombor satu atau agenda paling utama.
“Justeru, semua perkakas memasak dan bahan membuat lemang akan dibersihkan dengan teliti.
“Perkara-perkara lain yang diamalkan adalah seperti penggunaan santan segar dan teknik membakar lemang yang betul.
“Lemang perlu dipusing untuk memastikan ia masak dengan sekata. Api juga perlu sentiasa dijaga bagi menghasilkan lemang yang enak,” ujarnya.
Kongsi Mohd. Arifin, secara peribadinya, dia amat menggemari lemang pulut hitam daun lerek yang dimakan bersama tapai pulut.
“Saya sukakan rasa lemak daripada lemang pulut hitam daun lerek yang dimakan bersama tapai pulut.
“Lebih enak sekiranya tapai itu juga dibuat daripada pulut hitam.
“Mungkin ramai yang tidak tahu, namun kombinasi itu adalah sesuatu yang cukup enak dan wajib dicuba,” katanya.
Selain lemang, menu lain yang wajib dicuba pelanggan di gerai itu adalah rendang ayam berkuah dan rendang daging pucuk ubi yang cukup popular di Negeri Sembilan.
Gerai Lemang Daun Lerek Greenwood Gombak dibuka pada setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam.














