fbpx

‘Bapa kering air mata tanggung rindu 16 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OMAR menunjukkan gambar Sheikh Faeizan (gambar kecil) atau Pak Tam ketika berusia 19 tahun di rumahnya di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, Pontian semalam.

PONTIAN – Bagai sudah kering air mata apabila seorang warga emas menanggung rindu terhadap anak tersayang yang dipenjara di Taiwan kerana terjerat menjadi mangsa keldai dadah.

Omar Yuhyi, 70, bapa kepada mangsa keldai dadah, Sheikh Faeizan Omar, 35, yang kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Ujarnya, Aidilfitri yang menjelang tiba minggu depan seperti tiada erti apabila menge­nangkan nasib anak kelima daripada tujuh beradik yang telah memasuki tahun ke-16 dipenjara.

“Pemergian isteri, Hadiah Gondet tiga tahun lalu menambah keperitan saya kerana isteri tak sempat menatap wajah Sheikh Faeizan atau dikenali sebagai Pak Tam sejak terpisah pada 2007,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, di sini semalam.

Katanya, pengharapan demi pengharapan yang dinyatakan melalui surat dan panggilan telefon yang diyatakan Pak Tam akan diberikan pengampunan oleh pemerintah Taiwan, nampaknya masih buntu.

“Dari seorang remaja berusia 19 tahun ketika ditangkap, Pak Tam kini telah berusia 35 tahun, sebagai bapa tentu saya rasa rindu dan ingin menatap wajah­nya sekarang.

“Saya sekarang telah berusia 70 tahun, entah esok, entah lusa, ditakdirkan saya dipanggil Ilahi, terkilan rasanya seperti ibunya yang tidak dapat melihat buat kali terakhir anak lelakinya itu,” katanya.

Mengimbas peristiwa 16 tahun lalu, Pak Tam ditahan di Lapa­ngan Terbang di Taipei ketika hendak berlepas pulang ke Malaysia setelah didapati membawa heroin seberat 2.14 kilogram.

SHEIKH FAEIZAN

Pak Tam dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselin­dung di sebalik operasi menghantar barangan kristal ke Taiwan.

Lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 24 Jun 2007 oleh sebuah mahkamah di Taiwan dan sehingga kini masih gagal mendapatkan pengampunan bagi membolehkannya dibebaskan.

Hukuman itu diputuskan setelah mahkamah mendapati Pak Tam membawa dadah yang terlalu berat selain mengambil kira ketegasan kerajaan Taiwan dalam memerangi penyeludupan dadah antarabangsa.

Tambah Omar yang juga bekas anggota tentera, dia ketika ini berhubung dengan Pak Tam menggunakan panggilan telefon terus ke rumah tiga bulan sekali.

“Kami hanya dibenarkan berbual kira-kira dua minit oleh penjara di sana. Kalau dulu boleh berhubung melalui surat, namun kini pihak penjara tidak membenarkan lagi dan hanya panggilan telefon dapat mengubat kerinduan kami sekeluarga di sini,” ujar­nya dengan linangan air mata.

Kata Omar, kali terakhir anaknya itu membuat panggilan telefon adalah sebelum Ramadan lalu dengan bertanya khabar keluarga di Malaysia dan memberitahu ada seorang kawan baru yang berasal dari Pontian yang turut ditahan di sana.

Omar turut berharap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu membebaskan anaknya dari Taiwan.

“Saya pun tidak mahu lihat Pak Tam terus meringkuk di dalam penjara seumur hidup di negara asing. Dari segi makan minum, kesukaran bertutur, ruang untuk menjalankan tuntutan agama dan sebagainya,” jelasnya.

Ketika mengakhiri bicara, Omar sekali lagi merayu pihak tertentu yang dapat membela nasib dan membantu Pak Tam.

“Jika ada simpati dan belas ihsan, ini sahaja hajat terakhir saya,” ujarnya sayu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI