fbpx

Haji Samirudin, Riki dihukum 8 bulan penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAJI SAMIRUDIN (depan kanan) dan Riki (kiri) yang melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Penjara Ledang pada 11 April lalu dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai, hari ini.

KULAI – Tindakan dua tahanan melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Ledang pada 11 April lalu mengundang padah apabila mereka dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40, dikenakan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka yang ditahan secara sah bagi kesalahan di bawah Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/1963 didakwa telah dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Kulai pada pukul 10.50 pagi, 11 April lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan ibu bapa yang sudah uzur dan anak kecil di kampung halaman di Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal atas kesalahan kerana telah membazirkan wang kerajaan dalam usaha mencari selain menyusahkan banyak pihak.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman lapan bulan penjara bermula daripada tarikh tangkapan.

Terdahulu, mereka telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian itu, seramai tiga orang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah ditugaskan membawa empat warganegara Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan.

Semasa dalam perjalanan, dua suspek iaitu Haji Samirudin dan Riki Rinaldi telah berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van sebelum bertindak melarikan diri masuk ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang.

Kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya ditangkap semula dalam tempoh 24 jam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dengan kedua-dua tahanan telah menukar baju lokap yang dipakai dengan t-shirt dan jeans dipercayai dicuri.

Kedua-dua tahanan itu mengalami cedera ringan selepas bertindak terjun dari van untuk meloloskan diri.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI