Mengkala mai Kedah, singgahlah ke Pekan Ghabu, minum nira nipah, makan emping keqhabu. Itu seperenggan petikan daripada lagu rakyat, Seloka Negeri Kedah yang merupakan salah satu daripada lagu orang Kedah yang memperkatakan tentang Pekan Rabu.
Bukan itu sahaja, kebanyakan daripada lagu rakyat Kedah menyelitkan keunikan Pekan Rabu.
Hari ini, Pekan Rabu yang sudah berusia lebih 93 tahun tersergam indah dek kerana transformasi dan terbaharu pada tahun 2014 apabila kerajaan membina bangunan baharu dikenali sebagai Kompleks Pekan Rabu di tengah bandar raya Alor Setar dengan kos RM55.5 juta.
Kompleks baharu tersebut yang siap sepenuhnya pada tahun 2018 menempatkan 350 premis di empat tingkat bangunan dengan ciri-ciri lebih moden dan selesa.
Bagi kebanyakan orang terutama dari luar negeri ini, kunjungan ke Kedah tidak akan lengkap tanpa membeli-belah di Pekan Rabu.
Di sebalik gahnya nama kompleks itu, Pekan Rabu juga dihimpit zaman suram semasa pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020 rentetan daripada pelbagai sekatan perjalanan.
Difahamkan sebelum ini, nilai urus niaga di situ dianggarkan sekitar RM4 juta hingga RM5 juta sebulan, namun terjejas hampir 100 peratus sepanjang pandemik berkenaan.
Ketika ini, Kompleks Pekan Rabu kembali ceria dan terus menjadi kunjungan orang ramai yang kebanyakannya dari luar Kedah.
Cuba datang pada hari cuti sekolah atau perayaan terutama pada Jumaat dan Sabtu, anda akan menyaksikan berpuluh bas rombongan beratur di luar kompleks berkenaan.
Apabila menjelang bulan Ramadan dan Syawal, kompleks itu yang menjual pelbagai makanan tradisional, kraf tangan dan kelengkapan hari raya juga semakin menjadi tumpuan termasuk dalam kalangan pengunjung luar.
Ikan pekasam sering jadi buruan pada bulan Ramadan, manakala pakaian dan aksesori seperti songkok antara yang dicari orang menjelang Aidilfitri.
Menurut salah seorang pengunjung dari Seberang Perai, Pulau Pinang, Noraini Mohd. Yusof, 46, Pekan Rabu menjadi lokasi wajib dilawati sekiranya berkunjung ke Alor Setar.
“Tidak lengkap kalau ke Alor Setar tak datang ke Pekan Rabu sebab di sini semuanya ada, daripada pakaian, aksesori hingga ke makanan termasuk kuih tradisional. Semua di bawah satu bumbung.
“Lagipun, peniaga di sini semua ramah tamah. Produk paling saya suka di sini adalah ikan pekasam. Di sini paling segar dan banyak pilihan yang tak ada di tempat lain,” kata pekerja swasta itu kepada Panorama.
Noraini dan rakannya, Hasniza Zainal Abidin, 40, dari Taiping, Perak, meluangkan masa beberapa jam di kompleks berkenaan usai satu mesyuarat di bandar raya itu baru-baru ini.
“Inilah kami pertama kami datang selepas terbinanya bangunan baharu yang lebih cantik dan selesa. Memang berbeza dari dahulu kerana kedai pun lebih teratur,” kata Hasniza.Seorang lagi pengunjung dari Johor, Fatimah Ali, 55, kompleks tersebut kelihatan segah namanya yang sering diperkatakan ramai.
“Orang cakap kalau datang Kedah mesti datang Pekan Rabu. Banyak jiran yang pesan itu ini termasuk kuih tradisional. Nampaknya harga masih murah berbanding di Johor.
“Saya tertarik sebab semuanya ada di sini. Baulu pun saya boleh makan terus dari oven,” katanya.
Menurut sejarah, Pekan Rabu diasaskan oleh putera diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid Halim Shah yang bertujuan memberi peluang kepada peniaga Melayu menambah pendapatan.
Mula bertapak di Tanjung Chali, Alor Setar, Pekan Rabu kemudian dipindahkan pada tahun 1932 ke Jalan Tunku Ibrahim yang terletak kira-kira satu kilometer dari tapak asal yang kekal sehingga hari ini.

Sisi unik Pekan Rabu lain adalah premis berkenaan turut menjadi tempat bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad berniaga minuman cendol dan kopi pada tahun 1942 hingga 1944.
Oleh kerana sinonimnya Pekan Rabu dan Tun Dr. Mahathir, ia juga menjadi inspirasi kepada peniaga songkok tersohor di situ untuk mengilhamkan jenama songkok gaya Tun yang mencuri perhatian pada Hari Raya Aidilfitri.
Pemiliknya, Sardi Dahar, 64, berkata, pada setiap musim perayaan, beliau mampu menjual sehingga 500 unit songkok tersebut yang berharga RM25 hingga RM120.
“Tahun ini saya bercadang untuk menambah produksi daripada 20 hingga 30 peratus untuk tampung permintaan Aidilfitri,” katanya yang berkecimpung dalam bidang pembuatan songkok sejak berusia 18 tahun.
Di sebalik itu, menurut Sardi, beliau berbangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah Pekan Rabu yang disegani sejak sembilan dekad lepas.
“Pada pandangan saya, Pekan Rabu menjadi ikonik kerana sejarahnya dan di sini juga tempat orang Melayu bersama-sama mencari rezeki seperti satu keluarga.
“Saya mewarisi perniagaan ini daripada bapa saya dan kemudian saya harap anak saya pula mewarisinya. Demikian juga keunikan Pekan Rabu yang menjadi hab produk tradisional Melayu daripada pakaian, kraf tangan sehingga ke makanan,” harapnya.
Beralih di bahagian makanan, pelbagai aroma kuih tradisional yang dibakar di kompleks berkenaan pasti singgah di deria bau pengunjung.
Fatimah Harun, 55, merupakan pakar membuat baulu sejak 15 tahun lepas di kompleks tersebut.
Istimewa baulu Emanis ini adalah ia dibakar di premis berkenaan terus kepada pelanggannya. Masih mengekalkan harga RM10 sebekas di sebalik kenaikan pelbagai harga bahan mentah ketika ini, kata Fatimah, ia demi menjaga pelanggannya.
“Ini pun salah satu cara saya menghargai pelanggan. Cuma RM10 sebekas berbanding tempat lain, mungkin RM12 atau RM15.
“Sudah lama saya berniaga di sini banyak pelanggan mengenali saya. Jadi saya tak sanggup naikkan harga,” katanya.
Di tingkat paling atas bangunan Kompleks Pekan Rabu itu, Norfishah Abu Bakar, 55, peniaga ikan pekasam ralit melayan pelanggannya.
Norfishah menjual lebih 10 jenis pekasam yang diambil daripada penduduk kampung sejak 20 tahun lalu.
Pekasamnya menjadi sebutan kerana ikan segar digunakan seperti puyu, sepat, lampam, temenung, malah terdapat juga pekasam daging.
“Masuk sahaja bulan puasa ini memang tak menang tangan nak sediakan pekasam ini yang saya ambil daripada orang kampung. Pekasam ikan sepat dan puyu paling popular,” katanya.
















